Sunday, November 18, 2012

Komunikasi : Takrif, Jenis, Ciri, Halangan


Salam =) Berikut merupakan kerja kursus saya mengenai Komunikasi yang merangkumi Takrif Komunikasi, Ciri-ciri, Jenis dan Halangan dalam komunikasi. Moga membantu dan bermanfaat, May Allah Bless.

Pengenalan
Salah satu bidang yang dibincangkan dalam bahasa Melayu Kontekstual adalah komunikasi yang berkesan. Peri pentingnya mengenai komunikasi telah lama disedari oleh masyarakat. Hal ini disebabkan manusia secara fitrahnya tidak akan tinggal bersendirian, sebaliknya akan hidup berkelompok. Dengan hidup berkelompok , mereka akan berkomunikasi antara satu sama lain untuk mendapatkan kesefahaman.  Salah satu kepentingan komunikasi adalah untuk menyampaikan maklumat daripada satu pihak kepada pihak yang lain. Disebabkan itulah kajian mengenai bidang komunikasi diperluas dengan lebih dalam. Dalam kehidupan bermsyarakat, semestinya proses komunikasi amat penting kerana dengan menggunakan komunikasi yang baik mesej-mesej positif dapat disampaikan dan seterusnya diaplikasikan.

Terdapat dua jenis komunikasi yang terlibat dalam kalangan manusia iaitu komunikasi interpersonal dan intrapersonal.

Takrif Komunikasi
Perkataan komunikasi berasal dari perkataan “communiatus”  yang membawa maksud berkongsi sesuatu. Komunikasi membawa maksud proses pemindahan maklumat , perasaan , idea atau fikiran daripada satu pihak (individu atau kumpulan) kepada pihak (individu atau kumpulan) yang lain melalui pelbagai saluran . Melalui komunikasi , proses interaksi akan berlaku kerana terdapat dua pihak atau lebih akan terlibat dalam komunikasi tersebut. Dalam proses interaksi , perbuatan menghantar maklumat dan proses bertukar-tukar maksud akan berlaku. Komunikasi sememangnya bersifat menyebarkan namun komunikasi yang berkesan memberi penekanan kepada perkongsian makna dan maklum balas.

Terdapat 4 fasa yang berlaku dalam masa proses komunikasi berlaku iaitu 
proses: 
  1. Pembentukan, 
  2. Pengiriman ,
  3. Penerimaan 
  4. Pentafsiran.

Selain itu, proses komunikasi bukan hanya berlaku pada lisan semata-mata. Komunikasi juga boleh berlaku dalam bentuk :
  1. Bahasa gerak-geri , 
  2. Bahasa isyarat , 
  3. Sentuhan , 
  4. Hubungan mata 
  5. Penulisan.
Jenis Komunikasi

Dua jenis komunikasi yang terlibat dalam kehidupan seseorang adalah komunikasi interpersonal dan komunikasi intrapersonal.

Komunikasi interpersonal
Komunikasi interpersonal merupakan proses interaksi yang membabitkan antara individu dengan individu yang lain dan memerlukan mereka berinteraksi secara berhadapan ataupun menerusi media teknologi seperti telefon, video , ataupun radion untuk bertukar-tukar mesej. Komunikasi interpersonal amat penting kerana melalui proses komunikasi ini, mesej atau maklumat dapat disampaikan.

Komunikasi intrapersonal
Proses komunikasi intrapersonal berlaku secara dalaman pada diri individu itu sendiri. Komunikasi terjadi dalam monolog dalaman dengan member tumpuan kepada proses mengingati perkara-perkara yang telah berlaku atau simbol-simbol mengggunakan pancaindera. Komunikasi intrapersonal dapat ditakrifkan sebagai proses menganalisis maklumat dalam jiwa manusia.

Ciri-ciri komunikasi

Ciri-ciri komunikasi memerlukan beberapa aspek yang perlu dipenuhi iaitu aspek penutur, pendengar latar belakang komunikasi  dan  topik pembicaraan .

  Penutur
Aspek penutur sangat penting kerana penutur merupakan penyampai yang akan menyampaikan maklumat. Dalam bilik darjah , guru merupakan penyampai maklumat , dalam bilik kaunseling , kaunselor merupakan penyampai maklumat. Hal ini menunjukkan , proses menyampai informasi tetap berlaku namun,dengan situsi yang berbeza,penyampainya juga berbeza. Selain itu, seseorang penutur itu perlu dikenal pasti terlbih dahulu dari segi kedudukan mahupun jawatannya . Hal ini kerana seseorang yang mempunyai latar belakang berbeza akan menimbulkan kefaham yang berbeza. Sebagai contoh , jika seorang guru disiplin mengujarkan , “Ada masalah baharu hari ini” , hal ini membawa maksud bahawa terdapat masalah disiplin seperti ponteng sekolah atau hisap rokok yang baharu berlaku di sekolah . Namun begitu, jika ujaran ini diujarkan oleh seorang pegawai polis , maka ujaran tersebut boleh membawa maksud bahawa terdapat kes jenayah baharu yang berlaku. Perkara ini penting kerana individu berlatar belakangkan berbeza keadaan mungkin tidak dapat mentafsir mesej yang ingin disampaikan oleh seseorang jika mesejnya terlalu umum.

   Penerima
Aspek kedua pula merupakan aspek penerima. Ciri-ciri komunikasi yang berkesan sememangnya memerlukan penerima yang memberi  tindak balas atau respons. Mengenal pasti pendengar juga adalah sama pentingnya seperti mengenal pasti penutur. Berbeza gaya bahasa yang menjadi perbualan antara rakan sebaya  suami isteri , orang tua serta yang mempunyai berbeza status atau , mempunyai pangkat dan gelaran . Sebagai contoh , seorang remaja bercakap dengan rakan sebayanya dengan menggunakan kata ganti nama ‘aku’ . Namun begitu, pengucapan kata ganti nama ‘aku’ tidak sesuai digunakan ketika bercakap dengan orang yang lebih dewasa kerana perkara ini dianggap kasar dan biadap. Kemungkinan remaja tersebut akan dilabel sebagai tiada adab ketika berbicara dengan orang tua. Masalah akan timbul jika perkara tersebut berlaku dan komunikasi akan terhalang. Sebaliknya , apabila seseorang yang lebih muda hendak berkomunikasi dengan orang yang lebih dewasa, mereka sepatutnya membahasakan diri sebagai ‘saya’ kerana perkataan ini lebih sopan.

Latar belakang komunikasi
Latar belakang komunikasi mengambil kira masa , tempat , keadaan semasa dan hubungan perkaitan di antara penutur dan pendengar. Aspek ini perlu diambil kira kerana jika seseorang itu tidak mengetahui maklumat tentang latar belakang sesuatu perbualan , tafsiran yang salah mungkin akan dibuat .

Topik pembicaraan
Dalam sesebuah perbualan ,  terdapat banyak perkara yang dibualkan dan manusia akan fokus pada satu tajuk apabila bercakap. Dengan ini matlamat yang ingin dicapai iaitu perkongsian dan pertukaran maklumat akan berlaku. Kedua-dua pihak iaitu penutur dan penerima harus jelas mengenai topic pembicaraan supaya apabila penutur memberi tahu ,penerima mampu member respons. Jika penerima tidak menunjukkan sebarang respon, kemungkinan penutur tidak menjelaskan dengan lebih terang mengenai topik pembicaraannya. Sebagai contoh , jika seorang lelaki mahu melamar seorang wanita dengan bahasa kiasan seperti , “ Saya mahu menyunting bunga di taman” . Namun, jika wanita tersebut tidak faham akan maksud lelaki itu , wanita itu tidak akan memberi respon terhadap lamaran lelaki tersebut. Dengan ini , maksud yang ingin disampaikan oleh lelaki tersebut tidak dapat dihadam oleh wanita tersebut.

ciri-ciri komunikasi berkesan
Komunikasi yang berkesan merupakan komunikasi yang mencapai matlamatnya. Apabila tercapai matlamat maka selesailah tugas si penutur kepada si pendengar . Terdapat beberapa ciri yang perlu dipatuhi sebelum sesebuah komunikasi boleh dianggap sebagai berkesan.

  Personaliti
Penutur perlulah mempunyai kemahiran berucap atau berpenampilan menarik untuk menarik perhatian pendengar. Kelebihan ini akan membuatkan pedengar mahu menerima apa yang hendak disampaikan oleh penutur tersebut. Dengan ini, kerja penutur untuk mearik para pendengar akan menjadi lebih mudah. Sebagai contoh, seorang penceramah motivasi pelajar sekolah perlulah mempunyai perwatakan yang santai dan pandai memancing perhatian pelajar sekolah. Penceramah motivasi tersebut tentunya mendapat sambutan jika dia berjaya menambat hati para pelajar .

  Mendengar dengan aktif
Penerima maklumat hendaklah mendengar dengan teliti dan menjadi pendegar yan aktif. Hal ini berlaku kerana jika seseorang individu menjadi pendengar yang teliti,dia akan memahami apa yang disampaikan oleh penutur. Dengan ini dia akan menjadi pendengar yang aktif dan boleh melontarkan soalan mahupun pandangannya terhadap topik yang dikemukakan oleh penutur. Dengan mendengar dengan aktif, penerima maklumat dapat mencerna informasi dengan betul dan tiada salah tafsiran berlaku. Tindak balas positif akan berlaku jika penerima mesej faham isi kandungan mesej dan member komen yang baik. Namun tindak balas negatif akan berlaku jika pendengar buat tidak endah dengan penyampaian isi maklumat .

   Bahasa badan
Bahasa badan penutur mampu mempengaruhi sesebuah komunikasi kerana dengan menguntum senyuman dan menggunakan pergerakan tangan yang  sederhana , seorang penutur akan kelihatan lebih berkeyakinan ketika berucap. Senyuman yang manis dan sapaan yang mesra akan menjadi satu permulaan yang baik untuk sebuah komunikasi yang positif. Jadi ,  seorang penutur yang akan menyampaikan maklumat hendaklah mempunyai bahasa badan yang menarik. Mimik muka dan pertentangan mata juga memainkan peranan yang penting.

Bahasa yang mudah difahami
Seorang pemberi maklumat perlu mengambil kira latar belakang mengenai penerima maklumat yang hendak disampaikannya. Dalam erti kata lain , penutur perlu tahu tahap penerima maklumat sama ada tahap sekolah , mahasiswa mahupun orang-orang tua. Dengan menggunakan laras  bahasa yang sesuai mengikut umur, para penerima maklumat dapat memahami mesej yang hendak disampaikan oleh penutur. Dengan menggunakan bahasa yang mudah difahami, para pendengar akan berasa seronok kerana mereka faham dengan penyampaian isi kandungan penutur atau penceramah. Dengan ini, komunikasi yang berkesan akan berlaku kerana berlaku hubungan dua hala yang aktif dan positif antara pengirim dan penerima mesej.

  Kejelasan maklumat
Perkara ini penting bagi seorang penutur dan juga penerima. Penutur haruslah menerangkan maklumat dengan jelas supaya penerima maklumat dapat mencerna maklumat dengan baik. Dengan ini, matlamat penutur akan tercapai untuk menyampaikan maklumat kepada penerima. Hal ini kerana komunkasi yang berkesan mampu member pengaruh kepada penerima maklumat tersebut. Salah satu fungsi komunikasi adalah mengubah tingkah laku penerima menerusi perubahan sikap, nilai dan cara berfikir. Misalnya , apabila seseorang itu mendengar pidato mengenai nilai integrity dan faham maklumat yang disampaikan, pendengar itu akan mengaplikasikan nilai integrity dalam kehidupan sehariannya. Selain itu, bimbingan yang positif dan berterusan dari seorang guru juga mampu meransang anak-anak murid seorang guru untuk menjadi insan yang baik.

Halangan dalam komunikasi
Tidak dapat dinafikan , halangan dalam komunikasi tetap ada . Halangan-halangan inilah yang menyebabkan penerima maklumat tidak dapat menganalisis maklumat dengan baik dan pemberi maklumat tidak dapat menyampaikan dengan baik. Halangan komunikasi juga menyebabkan penerima tidak mendapat kesan dari hasil penyampainnya. Terdapat banyak halangan dalam komunikasi , misalnya seperti :

   Pemesongan
Halangan pemesongan terjadi apabila bahasa yang digunakan oleh penyampai susah dan tidak difahami oleh penerima maklumat. Perkara ini merumitkan proses penerimaan maklumat dan kesan yang lebih buruk lagi, penerima tidak dapat memahami perkara yang disampaikan kepada mereka. Selain itu, penerima maklumat akan membuat penilaian terhadap penutur. Penutur yang tidak memberikan pengucapan yang baik akan mendapat penilaian pertama atau ‘first impression’ yang buruk dari penerima. Dengan ini, mereka tidak mahu mendengar lagi maklumat dari penyampai.

Sebahagian sahaja
Faktor halangan sebahagian sahaja merujuk kepada persekitaran dan penyalah tafsiran. Persekitaran yang bising, jarak yang jauh keadaan yang gelap ataupun kotor mampu mengganggu konsentrasi seorang pendengar. Keadaan yang sesak dan hingar bingar  juga akan menjadikan penerima mesej hilang tumpuan. Selain itu, penerima mesej mungkin akan tersalah mentafsir mesej yang disampaikan kepada mereka kerana mereka tidak member tumpuan sepenuhnya terhadap pengucapan yang diberikan gara-gara terganggu dengan keadaan persekitaran.

 Bebanan
Halangan bebanan berlaku apabila seseorang yang telah pun mengetahui mengenai maklumat tersebut, diberitahu lagi mengenai perkara yang sama. Perkara ini akan membuatkan penerima maklumat berasa bosan kerana dia sudah tahu mengenai makumat yang disampaikan. Disebabkan itulah, penerima akan memberi perhatian kepada kerja lain kerana dia mendapat maklumat yang sama berulang kali dan tidak mendapat informasi yang baharu.

 Emosi penutur dan penerima
Selain itu, sikap dan emosi seseorang individu mempengaruhi proses komunikasi. Seseorang yang murung dan bersifat negatif tidak dapat menyampaikan mesej yang baik kepada orang lain.  Sebaliknya individu yang ceria dan cergas mampu memberi pengucapan yang baik dan mempengaruhi orang sekelilingnya untuk menjalani hidup dengan ceria,aktif dan bersikap positif.

 Istilah/gangguan semantik.
Di samping itu, istilah yang berbeza-beza juga menjadi punca halangan untuk menyampaikan sesuatu mesej. Terdapat istila-istilah yang bunyinya sama tetapi membawa maksud yang jauh berbza. Sebagai contoh, di Kedah ‘gerek’ membawa maksud basikal namun di Sarawak ‘gerek’ membawa maksud teman lelaki atau teman wanita. Perkara ini mampu mencetus salah faham jika perkara lain yang mahu disampaikan oleh penutur namun membawa maksud yang lain kepada penerima.

Refleksi

            Dari awal persediaan menyiapkan tugasan ini sehingga tamat , terdapat banyak perkara yang saya pelajari. Kajian mengenai kerja kursus bahasa Melayu Kontekstual ini membincangkan mengenai takrif komunikasi,ciri-ciri komuniksi berkesan dan halangan-halangan dalam komunikasi.
            Pembelajaran mengenai komunikasi memberi kesedaran kepada saya mengenai peri pentingnya komunikasi dalam kehidupan. Takrif komunikasi dari perkataan Latin iaitu berkongsi sesuatu menjelaskan bahawa komunikasi diperlukan untuk mewujudkan persefahaman. Saya sangat bersetuju bahawa setiap manusia perlu mempunyai kemahiran berkomunikasi dengan baik kerana setiap hari kita akan berinteraksi dengan manusia sama ada ketika berjuaal beli, bertegur sapa , bermain sukan dan sebagainya.
             Selain itu, seseorang individu juga perlu mengetahui tentang ciri-ciri komunikasi yang berkesan agar dia dapat mengawal keadaan ketika memberi pengucapan. Saya juga belajar kaedah menyampaikan hujah dengan berkesan dan difahami oleh pendengar. Individu juga perlu peka terhadap halangan yang bakal ditempuhi sebelum,semasa dan selepas memberi pengucapan atau mesej. Dengan ini, pengucapan akan menjadi lebih berkesan jika setiap masalah dapat diatasi dengan bijak.
            Kesimpulannya, kemahiran berkomunikasi perlu ada pada setiap orang agar kelak mampu menyampaikan maklumat dengan baik dan berkesan kepada orang ramai.

Kertas Kerja - Butiran Perlaksanaan


Assalamualaikum =) Semoga allah merahmati kalian. Berikut merupakan gerak kerja untuk sesuatu badan atau organisasi yang mengadakan perkhemahan.

Kerja yang perlu diuruskan oleh Ahli Jawatan Kuasa tertinggi iaitu Pengerusi dan Naib, Setiausaha dan Naib serta Bendahari dan Naib :
  1. Menyiapkan minit mesyuarat bagi setiap perjumpaan
  2. Menentukan tempat yang telah dipersetujui ( aspek yang perlu dilihat pada tempat tesebut eg : kemudahan, penempatan, makanan, aktiviti, fasilitator)
  3. Menyiapkan kertas kerja beberapa hari selepas mesyuarat agung
  4. Berkomunikasi dengan pemilik setiap tempat yang menjadi pilihan, tawar-menawar harga.
  5. Menyiapkan surat sponsor (tambahan sahaja)
  6. Menyiapkan senarai nama peserta
  7. Menyelia setiap pergerakan Ketua Biro
  8. Menyelia pergerakan keluar/masuk dana
  9. Membekalkan resit bagi sebarang aktiviti pengeluaran duit
  10. Sentiasa merujuk Penasihat untuk segala perkara/masalah
  11. Menyiapkan surat sewa bas/ tempah bas
  12. Menyiapkan surat memohon cenderahati/sumbangan pihak sekolah/kampus
  13. Menyiapkan surat kepada balai polis , klinik kesihatan dan jabatan perhutanan di daerah perkhemahan.


BIRO PENDAFTARAN DAN URUSETIA
  • Mengendalikan kehadiran peserta
  • Memastikan bilangan peserta cukup dalam setiap aktiviti
  • Mencatatkan bilangan peserta yang terlibat supaya AJK Sijil dan Cenderamata sedia maklum dengan jumlah kehadiran peserta
  • Menguruskan kelancaran tentatif program
  • Mengawal segala pergerakan peserta dan aktiviti yang telah dirancangkan
  • Menguruskan permasalahan yang timbul dan perkara berbangkit yang timbul


BIRO LOGISTIK DAN PETEMPATAN
  • Menguruskan peralatan dan penginapan bagi pelajar-pelajar dan juga fasilitator
  • Logistik atau peralatan yang diperlukan oleh peserta untuk menjalankan aktiviti yang telah dirancang
  • Menentukan lokasi yang sesuai untuk melakukan aktiviti yang dirancang
  • Menyediakan petempatan untuk peserta menginap iaitu khemah dan kawasan mendirikan khemah


BIRO KEROHANIAN DAN KEBAJIKAN
  • Menyediakan pengisian rohani dalam diri peserta
  • Memastikan peserta yang beragama Islam sentiasa hadir dalam solat jemaah
  • Memberi tazkirah dan motivasi untuk setiap peserta
  • Menjamin keperluan peserta sepanjang program berjalan
  • Memastikan makan dan minum peserta terjaga dan terjamin kebersihannya
  • Sentiasa berjaga-jaga dengan tahap kesihatan peserta


BIRO AKTIVITI DAN PERALATAN
  • Menguruskan segala aktiviti yang akan dilakukan semasa program
  • Mendapatkan informasi dan kepastian tentang sesuatu aktiviti yang ingin dijalankan di lokasi tersebut
  • Membuat perancangan aktiviti dengan lengkap dan terperinci
  • Memastikan semua aktiviti berjalan dengan lancar
  • Menguruskan peralatan yang perlu digunakan untuk aktiviti yang dirancang dan memastikan peralatan cukup bagi semua peserta


BIRO MAKANAN DAN MINUMAN
  • Menguruskan makanan dan minuman yang perlu semasa program berlansung
  • Memastikan kebersihan makanan dan minuman yang disediakan untu peserta-peserta
  • Membuat bajet bagi anggaran yang diperlukan untuk kos makanan dan minuman yang diperlukan
  • Merujuk kepada bendahari untuk membeli makanan yang hendak di bawa ke tempat perkhemahan
  • Menguruskan perkakasan yang perlu digunakan untuk memasak di tempat perkhemahan


BIRO SIARAYA
  • Bertanggungjawab untuk memastikan para peserta mengetahui informasi mengenai program yang berlansung
  • Memastikan brosur diedarkan kepada semua peserta (jika ada)
  • Setiap peserta harus mempunyai tag nama


BIRO KESELAMATAN DAN KECEMASAN
  • Memastikan keselamatan para peserta program terjamin semasa program berlansung
  • Menyelia keselamatan peralatan-peralatan dan barang-barang yang akan digunakan semasa melakukan aktiviti
  • Sentiasa membawa peti kecemasan semasa program berlansung untuk persediaan sekiranya berlaku sebarang kemalangan
  • Memaklumkan kepada pihak pengurusan tempat aktiviti dijalankan dan pihak polis mengenai tempat tersebut tentang berlansungnya aktiviti rekreasi dan memberikan keterangan terperinci tentang jumlah peserta yang terlibat untuk tujuan keselamatan
  • Menyediakan barang-barang yang digunakan untuk keselamatan seerti belerang, peti kecemasan dan tembakau.
  • Menyediakan surat pinjam khemah pada pihak stor


BIRO MULTIMEDIA
  • Mengumpul gambar-gambar sepanjang aktiviti dijalankan
  • Menyediakan video aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan di akhir program ini
  • Mencatat deskripsi aktiviti-aktiviti sebagai kenangan selepas perkhemaha

BIRO SIJIL DAN CENDERAMATA
  • Memastikan semua peserta yang hadir mendapat sijil
  • Mendapatkan cop Pengarah untuk sijil-sijil tersebut
  • Memastikan tiada kesalahan ejaan atau fakta dalam sijil tersebut
  • Memberi cenderamata kepada fasilitator sebagai tanda penghargaan mengiringi ke perkhemahan
  • Menyediakan cenderamata dan sijil kepada peserta-peserta

  
BIRO MAJLIS PENUTUP
  • Menyediakan dan menyusun atur tempat majlis penutup diadakan
  • Memastikan semua fasilitator dan peserta perkhemahan hadir
  • Menyediakan teks ucapan untuk majlis yang berlansung
  • Menguruskan sijil, hadiah dan cenderamata untuk fasilitator dan para peserta
  • Memastikan majlis penutup berakhir dengan lancar dan sempurna


BIRO DOKUMENTASI DAN PENILAIAN
  • Mendokumentasikan program yang telah berlansung
  • Menilai keputusan aktiviti yang telah dijalankan
  • Memastikan setiap peserta mempunyai dokumen maklumat
  • Mendapatkan ‘feedback’ daripada fasilitator dan peserta
  • Menyediakan buku skrap sebagai bahan bukti pada akhir program

credit : Firdaus
Taman Negara Pahang, kenangan dan pengalaman.


Wednesday, November 7, 2012

Ejaan Popular yang Sering Salah

Salam =)

Berikut merupakan daftar kata yang seringkali keliru ejaan betulnya dalam peperiksaan. Bahagian kiri merupakan ejaan yang salah dan bahagian kanan merupakan ejaan yang betul. Semoga bermanfaat =)

Kiri = Kanan


  1. Kobis = Kubis 
  2. Tahyul = Tahayul
  3. Ciplak = Jiplak
  4. Satay = Sate
  5. Setor = Stor
  6. Bihun = Mihun
  7. Pelusuk = Pelosok
  8. Analisa = Analisis
  9. Definasi = Definisi
  10. Beryani = Beriani
  11. Skuash = Skuasy
  12. Skima = Skema
  13. Mengkarung = Bengkarung
  14. Kolestrol = Kolesterol
  15. Mentera = Mantera
  16. Snoker = Snuker
  17. Kerinting = Keriting
  18. Dinamis = Dinamik
  19. Murtabak = Martabak
  20. Satria = Sateria
  21. Motorsikal = Motosikal
  22. Stem = Setem
  23. Spesis = Spesies
  24. Hirarki = Hierarki
  25. Petrolium = Petroleum
  26. Celupar = Celopar
  27. Atlit = Atlet
  28. Ping pong = Pingpong
  29. Mastika = Mestika
  30. Kuay tiau = Kuetiau
  31. Mee = Mi
  32. Lagenda = Legenda
  33. Panatia = Panitia
  34. Kalender = Kalendar
  35. Baucer = Baucar
  36. Skaf = Skarf
  37. Mertua = Mentua
  38. Stokin = Stoking
  39. Cop = Cap
  40. Sayugia = Seyogia
  41. Sekim = Skim
  42. Siksa = Seksa
  43. Garuda = Geroda
  44. Tauladan = Teladan
  45. Pantomin = Pantomim
  46. Sandwich = Sandwic
  47. Kuopon = Kupon
  48. Stensel = Stensil
  49. Faksimili = Faksimile
  50. Katrij = Kartrij 

Saturday, September 22, 2012

Report Writing : Favourite Pastime Among trainee teachers.

Assalamualaikum, greet to all of you people :)

This is a report writing , and this is an assignment done by me and Rashidah, my dear classmate. Alhamdulillah, completed a day before we need to submit it. ^^,

This report is mainly about types of different pastimes that the male and female trainee teachers' like :) Hopefully this is beneficial, insyaAllah.

Here's the collected data and the graphs.




Female






Male








Report Writing

The graphs shows the different types of favourite pastime among ten male and ten female trainee teachers in Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas. This mini research is conducted in order to obtain the data of most favourable pastime among these trainee teachers.

            The trend indicates a few different types of favourite pastime between male and female. There are four main favourite pastime which are surfing the internet, reading, cycling and shopping. The graph obviously shows that the most popular favourite pastime among the trainee teachers, both male and female, is surfing the internet with 42% respectively for each gender. Meanwhile, the least preferred pastime chosen by the trainee teachers is shopping with only 8% for the female and none of the male trainee teachers are interested with this pastime.

            The number of female and male trainee teachers who would like to surf the internet is five person correspondingly. This shows that almost half of the trainee teachers like to spend their time to surf the internet. The percentage of female trainee teachers that prefer surfing is equal with the male trainee teachers which is 42%. In addition, the next preferable favourite pastime among female trainee teachers is reading because 34% of them like this hobby. On the contrary, only 17% of male trainee teachers are fond of reading. This shows that female trainee teachers read more than male trainee teachers do. Apart from that, there is 8% of female trainee teachers who choose shopping as their favourite pastime, meanwhile none of male trainee teachers show any interest in shopping during their leisure time. Furthermore, 8% of both female and male trainee teachers are fond of cycling. Lastly, there are 33% of male trainee teachers who choose others than the favourite pastime listed. That amount of students favor to go for jamming, playing games and drawing. In the intervening time, only 8% of female choose other pastime than reading, cycling, surfing the internet and shopping, which is fishing.

            Nearly each of the trainee teachers agreed that their favourite pastimes are beneficial except for one male trainee teacher who likes to play games because he stated that playing games disturb his sleeping time and waste his time.

            Most of the female trainee teachers use up weekdays to carry out their favourite pastime and the percentage is 46%. In the meantime,  39% of female trainee teachers choose to spend on weekends for their favourite pastime and 15 % of them have a preference to work out their favourite pastime of public holidays. On the other hand, majority of male trainee teachers select weekends for them to carry out their favourite pastime with percentage 60% meanwhile another 40% pick out on weekdays in order to undertake their pastime.

            Besides, 60% of female trainee teachers prefer to spend three to four hours each time they work out on their pastime. 40% stated that they spend up to five  to six hours when they enjoy their pastime. In contrast, half of the male trainee teachers use up three to four hours and 30% of them provide one to two hours , in order to figure out their pastime. Another remaining 20% confirmed that they use five to six hours just to fix some leisure time for their favourite pastime.

            To sum up, the report written is mainly about the favourite pastime among male and female trainee teacher. The graph shows the difference preference of favourite pastime between this two gender. It is understandable that some male and female have the same interest such as surfing the internet whilst some other have their own choice of choosing their own favourite pastime.

                                                                                                                        (605 words)





Saturday, September 15, 2012

Ulasan Rencana


ULASAN RENCANA

Ulasan dibuat berdasarkan artikel ini - Ke Arah Pendidikan Holistik

Pengenalan
Penulisan rencana merupakan salah satu elemen yang terkandung dalam komunikasi bertulis. Menghasilkan rencana yang berkualiti memerlukan penulisnya untuk peka dalam pelbagai faktor untuk memastikan dia dapat menghasilkan rencana yang berkualiti.

Disebabkan itulah, pengulasan rencana perlu dilakukan untuk memastikan rencana yang lebih baik dapat dihasilkan pada masa akan datang. Penulisan yang formal dan berilmiah akan ditulis secara teratur dan sistematik memandangkan penulisan ini merupakan penulisan yang akan dibaca untuk menjadi bahan rujukan tambahan pula rencana pendidikan.

Kerja kursus Bahasa Melayu Akademik 1 PM 3311 P 4 akan membincangkan mengenai ulasan terhadap artikel yang bertemakan pendidikan. Ulasan artikel memerlukan pemerhatian tajam daripada pengulas memandangkan terdapat beberapa aspek penting yang perlu dikupas iaitu aspek isi kandungan rencana tersebut, laras bahasa yang digunakan, sistem ejaan dan juga rumusan keseluruhan rencana.

Rencana yang berkesan memerlukan bahasa yang berkesan dan tepat penggunaan istilahnya. Walaupun rencana merupakan tulisan yang berkisarkan pendapat peribadi, idea ataupun pandangan, penulis perlu berhati-hati dalam memilih perkataan yang tepat dalam penulisan rencana dan elakkan kekeliruan.


ULASAN RENCANA

1. Sinopsis rencana
Rencana ‘Ke Arah Sistem Pendidikan Holistik’ merupakan rencana yang ditulis oleh Encik Rohami Shafie iaitu Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakunan  dan Felo Penyelidik dari Institut Penyelidikan Pengurusan dan Perniagaan, Kolej Perniagaan di Universiti Utara Malaysia. Rencana pendidikan ini diterbitkan oleh surat khabar Utusan Malaysia pada 20 Mac 2012. Penulis menggarapkan mengenai kelemahan sistem meritokrasi dalam sistem pendidikan di Malaysia. Walaupun sistem pendidikan di Malaysia akan dirombak, namun kelemahan sistem pendidikan Malaysia harus ditangani segera. Penulis juga menekankan aspek sahsiah dan akhlak pelajar kerana dewasa ini terdapat banyak masalah sosial yang berlaku dalam kalangan generasi muda lantaran pendidikan di Malaysia tidak mampu membentuk akhlah remaja.. Tidak dinafikan bahawa pelajar perlu mahir menguasai ilmu pengetahuan seperti sains dan teknologi namun perkara ini akan menjadi sia-sia jika para siswazah tidak bersahsiah. Selain itu, pendidikan yang mampu melenturkan remaja menjadi remaja berintegriti dapat melahirkan pemimpin cemerlang pada masa akan datang. Kekurangan penghayatan agama dan pembentukan sahsiah juga tidak dapat melahirkan pemimpin berperibadi mulia serta bertanggungjawab. Penulis mengesyorkan supaya sistem meritokrasi dikaji agar sistem pendidikan ini tidak merosakkan masa depan negara. Tuntasnya , idea-idea para pemimpin, guru yang berkualiti dan kepercayaan ibu bapa diperlukan untuk sistem pendidikan pada masa akan datang untuk melahirkan pelajar berkualiti dan berakhlak terpuji. 

2. Isi kandungan rencana
Penulisan Encik Rohami membincangkan mengenai sistem pendidikan yang terdapat di Malaysia memandangkan terdapat rombakan yang dijalankan terhadap sistem pendidikan di Negara kita ini. Beliau berpendapat bahawa sistem pendidikan di sesebuah tidak boleh bersifat statik. Saya bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh penulis mengenai sifat pendidikan yang perlu sentiasa dinamik dan tidak kaku. Hal ini kerana pendidikan yang dinamik akan menjadikan Negara kita berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara maju yang lain. Selain itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi, berkata perubahan dasar pendidikan dibuat untuk menyesuaikan sistem pendidikan dengan keperluan semasa kerana sistem pendidikan bersifat dinamik, bukannya statik.

Encik Rohami juga menyatakan bahawa masih terdapat kelemahan dalam sistem pendidikan negara iaitu sistem meritokrasi. Tidak dapat dinafikan lagi, sistem meritokrasi  hanya menumpukan aspek kejayaan berasaskan penilaian terhadap peperiksaan serta meminggirkan aspek sahsiah dan akhlak pelajar. Perkara yang dibangkitkan oleh penulis sememangnya benar dan saya bersetuju memandangkan semua peperiksaan besar di sekolah seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Pendidikan Menengah Rendah (PMR) , Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) hanya menitikberatkan aspek akademik dan markah di atas kertas. Sistem meritokrasi perlu diperbaik semula.

Penulis memberi penekanan yang tinggi terhadap sahsiah  dan adab mulia dalam usaha pembentukan watak pelajar. Sememangnya, saya juga sangat bersetuju dengan pendapat penulis kerana akhlak terpuji perlu dibentuk di sekolah di mana para pelajar mendapat pendidikan formal. Hal ini kerana salah satu aspek yang terdapat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan ialah usaha melahirkan pelajar yang berakhlak mulia. Marcapada, pelbagai masalah sosial melanda negara kita dan pelaku masalah-masalah sosial dan jenayah ini tidak tidak bukan ialah remaja. Salah satu faktor terjadinya perkara-perkara sebegini ialah sistem pendidikan di Malaysia sendiri tidak dapat mengawal dan menjaga sahsiah para pemuda. Sebagai salah seorang remaja, saya mengakui kata-kata penulis memandangkan ilmu mengenai sahsiah di sekolah hanya diperolehi dalam kelas Sivik dan Kewarganegaraan. Kecenderungan pelajar untuk melanggar etika sosial lebih tinggi lantaran kurangnya kesedaran dalam diri mereka.

Encik Rohami juga berpendapat bahawa sistem pendidikan yang berjaya dan berkesan akan membentuk sifat-sifat terpuji dalam kalangan pelajar, mempunyai jati diri yang tinggi dan berani menyuarakan pendapat dengan kaedah yang berhikmah. Pelajar kini merupakan pemimpin masa hadapan, pembentukan diri dari peringkat awal inilah perlu diberi penekanan. Urie Bronfenbrenner (1917-2005) juga memberi penekanan tentang pentingnya pengaruh persekitaran terhadap pertumbuhan dan pembentukan kanak-kanak. Jadi, kanak-kanak dan remaja seharusnya didedahkan dengan persekitaran positif untuk diterapkan nilai-nilai murni yang praktikal dalam masyarakat kita.

            Kepentingan pendidikan memang tidak dapat diabaikan dna perkara ini diakui oleh penulis. Penulis menyatakan bahawapelajar perlu berkemahiran tinggi dalam menguasai sains daan teknolgi serta berkemampuan berfikir secara kritis. Pelajar semestinyaa berketrampilan dalam usaha menyediakan rakyat yang mampu memberi sumbangan kepada negara kelak. Walaubagaimanapun,penguasaan ini tidak memberi sebarang makna jika jiwa nurani seorang remaja itu tidak di isi dengan akhlak yang baik.

            Penekanan penulis yang seterusnya ialah pemimpin yang bakal mentadbir negara pada masa akan datang. Saya mengakui kebenaran kata-kata penulis kerana tindak-tanduk pemimpin akan diperhatikan oleh rakyatnya. Negara yang diterajui oleh pemimpin yang berkebolehan dan bertanggungjawab akan mendapat kepercayaan seratus peratus daripada rakyatnya serta tidak akan melakukan perkara-perkara yang menyalahi undang-undang menyalah guna kuasa mahupun mendabik dada. Negara juga akan ditimpa masalah jika golongan kaya tidak membantu golongan yang memerlukan bantuan.Kerendahan akhlak juga akan menyebabkan masyarakat terlibat dengan perkara yang tidak sepatutnya seperti mempertahankan hak seksual bebas atau dikenali sebagai kumpulan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

            Encik Rohami menegaskan bahawa perkara inilah yang perlu dikaji semula secara menyeluruh kerana sistem meritokrasi ini boleh membawa masalah kepada negara pada masa akan datang. Sistem meritokrasi mampu memberi masalah kepada institusi kekeluargaan pada masa akan datang. Hal ini kerana, sistem meritokrasi menyebabkan ketidakseimbangan pengambilan pelajar perempuan dan lelaki ke universiti. Kelak, golongan perempuan lebih mudah mendapat pekerjaan bergaji lumayan berbanding lelaki. Secara tidak lansung perkara ini mampu memberi implikasi negatif terhadap institusi kekeluargaan pada masa akan datang. Saya juga berasa perkara ini akan memandu ke  arah pembinaan sosial masyarakat yang tidak seimbang.

Secara kesimpulannya, pengemblengan tenaga antara pemimpin mahupun tokoh, guru dan ibu bapa demi menghasilkan pelajar berkualiti dan berakhlak mulia. Sistem pendidikan negara ini memerlukan ketiga-tiga pihak ini untuk kesejahteraan pada masa depan.

3. Laras bahasa yang digunakan
Laras bahasa dikaitkan dengan kesesuaian dengan bidang dan situasi bahasa atau konteks pengucapan dan dipengaruhi oleh tatabaha. Laras bahasa boleh ditakrifkan sebagai ciri-ciri khusus penggunaan bahasa mengikut bidang sesuatu wacana digunakan. Contohnya ialah, laras bahasa doa, khutbah dan mahupun upacara. Laras bahasa dipengaruhi oleh beberapa unsur latar seperti, penutur, peserta dan tujuan.

Rencana ini mempunyai laras bahasa yang sesuai untuk dibaca oleh umum. Rencana pendidikan ini merupakan rencana yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia. Setiap lapisan umur dapat membaca rencana ini dan memahaminya dengan mudah kerana penulis menggunakan bahasa standard. Penggunaan istilah-istilah juga diterangkan dalam rencana ini. Sebagai contoh dalam perenggan kelima ayat berikut:

Paling ketara, sistem pendidikan negara terlalu menumpukan aspek kejayaan meritokrasi melalui penilaian berdasarkan peperiksaan semata-mata dengan meminggirkan aspek akhlak mulia para pelajar.

Daripada ayat tersebut, penulis telah menerangkan perkataan meritokrasi dengan penerangan diikuti selepas perkataan tersebut iaitu ‘penilaian berdasarkan peperiksaan semata-mata’. Dengan ini, jika terdapat dalam kalangan pembaca yang terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah yang tidak mengetahui perkataan meritokrasi, mereka dapat memahami perkataan tersebut apabila membaca rencana ini. Hal ini secara tidak langsung menambah Iagi ilmu pengetahuan mereka.

4. Sistem Ejaan dan Tatabahasa.

Sistem Ejaan
Terdapat beberapa perkara yang perlu diperbaik dalam rencana pendidikan ini dari segi sistem ejaan dan tatabahasa. Kedua-dua aspek ini penting kerana pembaca akan meniru kaedah penulisan yang dibaca oleh mereka.

Salah satu aspek yang memerlukan penambah baikan ialah penggunaan huruf besar. Perkara pertama ialah penggunaan huruf besar pada tajuk rencana. Ejaan tajuk rencana pada surat khabar ialah :
“Ke  arah sistem pendidikan holistik”

Menurut buku Pedoman Umum Penggunaan Bahasa Melayu, huruf besar digunakan sebagai huruf pertama semua perkataan dalam nama buku, majalah, suratkhabar, dan judul karangan kecuali kata partikel, seperti di, ke, dari, untuk dan yang, yang tidak terletak pada kedudukan awal. Jadi , tajuk rencana pendidikan ini sepatutnya ditulis seperti ini :
“Ke Arah Sistem Pendidikan Holistik”

Penulis menggarapkan rencana ini menggunakan ejaan yang betul bagi ungkapan berhubung dengan nama Allah iaitu Allah SWT. Kebanyakan penulis lain tidak peka mengenai isu ini kerana masih banyak penulis yang mengeja sebagai Allah swt. Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu, ejaan yang sebenarnya bagi nama Allah ialah Allah SWT. Penulis rencana ini amat peka berkaitan kaedah penulisan nama Allah.

Penulis menggunakan banyak perkataan yang betul dan sesuai mengikut  laras bahasa yang sesuai nerdasarkan rujukan daripada buku Pedoman umum Ejaan Bahasa Melayu. Jadi, penulisan Encik Rohami memang sesuai dibaca oleh masyarakat yang terdiri daripada kanak-kanak, remaja mahupun orang dewasa.

Tatabahasa

Terdapat beberapa perkatan juga yang mememerlukan perhatian penulis kerana perkataan ataupun ayat tersebut tidak ditulis dengan mematuhi peraturan tatabahasa.

Salah satu perkara yang perlu diperbaik ialah penggunaan kata pemeri. Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, kata pemeri ialah unsure yang menjadi pemeri hal atau perangkai antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat . Terdapat dua jenis kata pemeri iaitu adalah dan ialah. Penggunaan kata pemeri adalah hanya boleh diikuti oleh frasa adjektif dan frasa sendi nama manakala penggunan kata pemeri ialah hanya boleh diikuti oleh frasa nama. Dalam perenggan keenam dalam rencana ini, penggunaan kata pemeri adalah tidak tepat berdasarkan ayat ini :

Mungkin tidak keterlaluan dikatakan salah satu penyebab utama berlakunya kebejatan sosial adalah kerana pendidikan itu sendiri tidak boleh menjaga dan melindungi akhlak generasi muda.

Penggunaan kata pemeri adalah dalam ayat tersebut diikuti oleh kata hubung kerana. Jadi, penggunaan ayat tersebut adalah tidak tepat. Sepatutnya kata pemeri ialah digunakan dan kata hubung kerana digugurkan dan ayat tersebut menjadi seperti ayat berikut :
Mungkin tidak keterlaluan dikatakan salah satu penyebab utama berlakunya kebejatan sosial ialah pendidikan itu sendiri tidak boleh menjaga dan melindungi akhlak generasi muda.

Seterusnya, penggunaan kata sendi nama di bagi ayat dalam perenggan sembilan adalah salah iaitu :
Kejayaan sistem pendidikan yang berasaskan akhlak dan adab akan membentuk sifat-sifat mulia di kalangan generasi akan datang seperti jujur, amanah, bertanggungjawab, sabar, tabah, cekal, yakin pada diri sendiri, mempunyai jati diri yang tinggi dan berani menyuarakan pendapat dengan cara berhemah.

Kata sendi nama di hanya boleh digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat. Ayat tersebut tidak menunjukkan bahawa penggunaan kata sendi nama di berada di hadapan kata nama yang menunjukkan tempat . Sebaliknya, kata sendi nama di perlu digantikan dengan kata sendi nama dalam kerana kata sendi dalam hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa pengertian lingkungan yang tidak mempunyai ruang dan jarak. Ayat yang betul bagi ayat bagi perenggan kesembilan ialah berikut :

Kejayaan sistem pendidikan yang berasaskan akhlak dan adab akan membentuk sifat-sifat mulia dalam kalangan generasi akan datang seperti jujur, amanah, bertanggungjawab, sabar, tabah, cekal, yakin pada diri sendiri, mempunyai jati diri yang tinggi dan berani menyuarakan pendapat dengan cara berhemah.
Penggunaan kata sendi di dalam ayat di pertama perenggan ke-sembilan juga salah :

Sudah tentu tiada siapa yang sanggup melihat negara kita berada di tangan para pemimpin yang sanggup menggadaikan masa depan negara demi kepentingan diri sendiri dan keluarga.

Sebetulnya kata sendi di digantikan dengan kata sendi dalam dan menjadi ayat sperti berikut :
Sudah tentu tiada siapa yang sanggup melihat negara kita berada dalam tangan para pemimpin yang sanggup menggadaikan masa depan negara demi kepentingan diri sendiri dan keluarga.

Ayat berikut juga menggunakan kata sendi nama di yang salah :
Puncanya tidak lain tidak bukan kerana kurangnya pemahaman dan penghayatan agama yang akhirnya membentuk akhlak dan adab yang rendah di kalangan generasi muda.

Kata sendi nama di hendaklah ditukarkan dengan kata sendi nama dalam. Ayat yang betul ialah berikut :
Puncanya tidak lain tidak bukan kerana kurangnya pemahaman dan penghayatan agama yang akhirnya membentuk akhlak dan adab yang rendah dalam kalangan generasi muda.

Penggunaan kata sendi nama antara juga hadir di hadapan kata nama atau frasa yang membawa pengertian lingkungan yang tidak mempunyai ruang atau jarak. Ayat berikut menggunakan kata sendi nama yang salah bagi kata sendi nama antara kerana meletakkan perkataan di antara :
Sebagai contoh, sistem ini telah menyebabkan keseimbangan di antara para pelajar perempuan dan lelaki.

Sepatutnya, ayat yang betul ialah :
Sebagai contoh, sistem ini telah menyebabkan keseimbangan antara para pelajar perempuan dan lelaki.

Selain itu, penggunaan kata siapa dalam ayat pertama perenggan ke-dua belas adalah salah kerana kata siapa dalam ayat tersebut merupakan penanda tidak tentu. Berikut merupakan ayatnya :
Sudah tentu tiada siapa yang sanggup melihat negara kita berada di tangan para pemimpin yang sanggup menggadaikan masa depan negara demi kepentingan diri sendiri dan keluarga.

Sepatutnya, kata siapa menerima penggandaan sebagai penanda tidak tentu dan menjadi perkataan sesiapa. Ayat sebenarnya akan menjadi begini :
Sudah tentu tiada sesiapa yang sanggup melihat negara kita berada di tangan para pemimpin yang sanggup menggadaikan masa depan negara demi kepentingan diri sendiri dan keluarga.

Di samping itu, penggandaan kata adjektif berentak kaya-raya tidak diletakkan sempang dalam perkataan tersebuat dalam ayat pertama perenggan ke-empat belas. Ayat berikut merupakan ayat yang salah :
Tidak ketingglan, tiada gunyanya kita melahirkan ramai golongan yang kaya raya tetapi amat lokek dan tidak sanggup membantu golongan miskin yang memerlukan.

Simbol tanda sempang berfungsi sebagai unsur-unsur kata ulang jadi tanda sempang perlu diletakkan pada perkataan kaya raya. Ayat yang betul ialah berikut :
Tidak ketingglan, tiada gunyanya kita melahirkan ramai golongan yang kaya-raya tetapi amat lokek dan tidak sanggup membantu golongan miskin yang memerlukan.

Selain itu, terdapat kesalahan penggunaan kata ganti diri nama kerana penulis menggunakan perkataan ‘ia’ sedangkan perkataan ia merujuk kepada kata ganti diri ketiga iaitu ‘dia’. Penggunaan kata ‘ia’ adalah salah seperti dua ayat di bawah :

Ayat pertama
Maka, golongan perempuan akan mudah mendapat pekerjaan bergaji lumayan manakala lelaki pula sentiasa ketinggalan dan akhirnya ia boleh merosakkan institusi kekeluargaan pada masa akan datang.

Ayat kedua
Kesannya bukan kepalang kerana ia boleh memberi implikasi sosial pada rakyat Malaysia.
Untuk menggantikan perkataan ‘ia’ , penulis seharusnya mengulangi subjek tersebut kembali kerana tiada kata ganti diri bagi objek yang bertindak sebagai subjek. Ayat yang benar ialah berikut :

Ayat pertama
Maka, golongan perempuan akan mudah mendapat pekerjaan bergaji lumayan manakala lelaki pula sentiasa ketinggalan dan akhirnya perkara ini boleh merosakkan institusi kekeluargaan pada masa akan datang.

Ayat kedua
Kesannya bukan kepalang kerana perkara ini boleh memberi implikasi sosial pada rakyat Malaysia.

5. Rumusan keseluruhan rencana.
Rencana pendidikan merupakan rencana yang mamou membuka mata dan minda para pembaca. Rencana sebegini perlu diperbanyak kerana dalam usaha memastikan rakyat Malaysia mempunyai pemikiran yang kritis, pihak media haruslah menyediakan bahan pembacaan sebegini. Penulisan rencana merupakan penulisan berilmiah yang akan menjadi rujukan pelajar mahupun para siswazah. Hal ini menunjukkan bahawa pentingnya penulisan rencana digarapkan dalam bentuk yang lebih formal tanpa sebarang kesalahan ejaan, istilah, fakta mahupun tatabahasa walaupun rencana seringkali bersifat pendapat peribadi para ilmuan.
Pada pendapat saya, penulisan rencana seharusnya perlu diperbanyakkan dan memerlukan pemerhatian tajam daripada pihak editor media bercetak mahupun media internet supaya kesalahan tatabahasa dan ejaan dapat dikurangkan. Dengan ini, pembaca dapat menerima banyak input mengenai tatabahasa daripada rencana itu sendiri tanpa perlu merujuk kepada kamus mahupun Tatabahasa Dewan.
Selain itu, saya merasakan bahawa rencana tulisan Encik Rohami Shafie sangat bagus melihatkan isi-isi kandungan rencana beliau padat dengan hujag yang kukuh mengenai sistem pendidikan di Malaysia dan pembinaan akhlak remaja. Secara peribadi, saya sendiri menyokong pendapat penulis rencana ini kerana beliau memberi alas an yang kukuh disebalik semua pendapat beliau. Walaupun terdapat beberapa kesalahan tatabahasa, namun perkara itu tetap tidak menghalang daripada tujuan utama menulis rencana tersebut iaitu menyampaikan pendapatnya kepada orang ramai melalui komunikasi bertulis.
Tuntasnya, saya merasakan bahawa penulisan rencana sangat penting kerana rencana mampu mencerna minda rakyat Malaysia untuk berfikir lebih kritikal dan seterusnya mengambil anjakan paradigm untuk terus maju ke hadapan dengan pelbagai ilmu pengetahuan di dada.