Sebarkan ilmu,didik ummah dengan ilmu * moga bermanfaat dan diredhai Allah ^_^

About Me

My photo
23, happy and contented. Future nation's hope.

Saturday, September 15, 2012

Ulasan Rencana


ULASAN RENCANA

Ulasan dibuat berdasarkan artikel ini - Ke Arah Pendidikan Holistik

Pengenalan
Penulisan rencana merupakan salah satu elemen yang terkandung dalam komunikasi bertulis. Menghasilkan rencana yang berkualiti memerlukan penulisnya untuk peka dalam pelbagai faktor untuk memastikan dia dapat menghasilkan rencana yang berkualiti.

Disebabkan itulah, pengulasan rencana perlu dilakukan untuk memastikan rencana yang lebih baik dapat dihasilkan pada masa akan datang. Penulisan yang formal dan berilmiah akan ditulis secara teratur dan sistematik memandangkan penulisan ini merupakan penulisan yang akan dibaca untuk menjadi bahan rujukan tambahan pula rencana pendidikan.

Kerja kursus Bahasa Melayu Akademik 1 PM 3311 P 4 akan membincangkan mengenai ulasan terhadap artikel yang bertemakan pendidikan. Ulasan artikel memerlukan pemerhatian tajam daripada pengulas memandangkan terdapat beberapa aspek penting yang perlu dikupas iaitu aspek isi kandungan rencana tersebut, laras bahasa yang digunakan, sistem ejaan dan juga rumusan keseluruhan rencana.

Rencana yang berkesan memerlukan bahasa yang berkesan dan tepat penggunaan istilahnya. Walaupun rencana merupakan tulisan yang berkisarkan pendapat peribadi, idea ataupun pandangan, penulis perlu berhati-hati dalam memilih perkataan yang tepat dalam penulisan rencana dan elakkan kekeliruan.


ULASAN RENCANA

1. Sinopsis rencana
Rencana ‘Ke Arah Sistem Pendidikan Holistik’ merupakan rencana yang ditulis oleh Encik Rohami Shafie iaitu Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakunan  dan Felo Penyelidik dari Institut Penyelidikan Pengurusan dan Perniagaan, Kolej Perniagaan di Universiti Utara Malaysia. Rencana pendidikan ini diterbitkan oleh surat khabar Utusan Malaysia pada 20 Mac 2012. Penulis menggarapkan mengenai kelemahan sistem meritokrasi dalam sistem pendidikan di Malaysia. Walaupun sistem pendidikan di Malaysia akan dirombak, namun kelemahan sistem pendidikan Malaysia harus ditangani segera. Penulis juga menekankan aspek sahsiah dan akhlak pelajar kerana dewasa ini terdapat banyak masalah sosial yang berlaku dalam kalangan generasi muda lantaran pendidikan di Malaysia tidak mampu membentuk akhlah remaja.. Tidak dinafikan bahawa pelajar perlu mahir menguasai ilmu pengetahuan seperti sains dan teknologi namun perkara ini akan menjadi sia-sia jika para siswazah tidak bersahsiah. Selain itu, pendidikan yang mampu melenturkan remaja menjadi remaja berintegriti dapat melahirkan pemimpin cemerlang pada masa akan datang. Kekurangan penghayatan agama dan pembentukan sahsiah juga tidak dapat melahirkan pemimpin berperibadi mulia serta bertanggungjawab. Penulis mengesyorkan supaya sistem meritokrasi dikaji agar sistem pendidikan ini tidak merosakkan masa depan negara. Tuntasnya , idea-idea para pemimpin, guru yang berkualiti dan kepercayaan ibu bapa diperlukan untuk sistem pendidikan pada masa akan datang untuk melahirkan pelajar berkualiti dan berakhlak terpuji. 

2. Isi kandungan rencana
Penulisan Encik Rohami membincangkan mengenai sistem pendidikan yang terdapat di Malaysia memandangkan terdapat rombakan yang dijalankan terhadap sistem pendidikan di Negara kita ini. Beliau berpendapat bahawa sistem pendidikan di sesebuah tidak boleh bersifat statik. Saya bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh penulis mengenai sifat pendidikan yang perlu sentiasa dinamik dan tidak kaku. Hal ini kerana pendidikan yang dinamik akan menjadikan Negara kita berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara maju yang lain. Selain itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi, berkata perubahan dasar pendidikan dibuat untuk menyesuaikan sistem pendidikan dengan keperluan semasa kerana sistem pendidikan bersifat dinamik, bukannya statik.

Encik Rohami juga menyatakan bahawa masih terdapat kelemahan dalam sistem pendidikan negara iaitu sistem meritokrasi. Tidak dapat dinafikan lagi, sistem meritokrasi  hanya menumpukan aspek kejayaan berasaskan penilaian terhadap peperiksaan serta meminggirkan aspek sahsiah dan akhlak pelajar. Perkara yang dibangkitkan oleh penulis sememangnya benar dan saya bersetuju memandangkan semua peperiksaan besar di sekolah seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Pendidikan Menengah Rendah (PMR) , Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) hanya menitikberatkan aspek akademik dan markah di atas kertas. Sistem meritokrasi perlu diperbaik semula.

Penulis memberi penekanan yang tinggi terhadap sahsiah  dan adab mulia dalam usaha pembentukan watak pelajar. Sememangnya, saya juga sangat bersetuju dengan pendapat penulis kerana akhlak terpuji perlu dibentuk di sekolah di mana para pelajar mendapat pendidikan formal. Hal ini kerana salah satu aspek yang terdapat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan ialah usaha melahirkan pelajar yang berakhlak mulia. Marcapada, pelbagai masalah sosial melanda negara kita dan pelaku masalah-masalah sosial dan jenayah ini tidak tidak bukan ialah remaja. Salah satu faktor terjadinya perkara-perkara sebegini ialah sistem pendidikan di Malaysia sendiri tidak dapat mengawal dan menjaga sahsiah para pemuda. Sebagai salah seorang remaja, saya mengakui kata-kata penulis memandangkan ilmu mengenai sahsiah di sekolah hanya diperolehi dalam kelas Sivik dan Kewarganegaraan. Kecenderungan pelajar untuk melanggar etika sosial lebih tinggi lantaran kurangnya kesedaran dalam diri mereka.

Encik Rohami juga berpendapat bahawa sistem pendidikan yang berjaya dan berkesan akan membentuk sifat-sifat terpuji dalam kalangan pelajar, mempunyai jati diri yang tinggi dan berani menyuarakan pendapat dengan kaedah yang berhikmah. Pelajar kini merupakan pemimpin masa hadapan, pembentukan diri dari peringkat awal inilah perlu diberi penekanan. Urie Bronfenbrenner (1917-2005) juga memberi penekanan tentang pentingnya pengaruh persekitaran terhadap pertumbuhan dan pembentukan kanak-kanak. Jadi, kanak-kanak dan remaja seharusnya didedahkan dengan persekitaran positif untuk diterapkan nilai-nilai murni yang praktikal dalam masyarakat kita.

            Kepentingan pendidikan memang tidak dapat diabaikan dna perkara ini diakui oleh penulis. Penulis menyatakan bahawapelajar perlu berkemahiran tinggi dalam menguasai sains daan teknolgi serta berkemampuan berfikir secara kritis. Pelajar semestinyaa berketrampilan dalam usaha menyediakan rakyat yang mampu memberi sumbangan kepada negara kelak. Walaubagaimanapun,penguasaan ini tidak memberi sebarang makna jika jiwa nurani seorang remaja itu tidak di isi dengan akhlak yang baik.

            Penekanan penulis yang seterusnya ialah pemimpin yang bakal mentadbir negara pada masa akan datang. Saya mengakui kebenaran kata-kata penulis kerana tindak-tanduk pemimpin akan diperhatikan oleh rakyatnya. Negara yang diterajui oleh pemimpin yang berkebolehan dan bertanggungjawab akan mendapat kepercayaan seratus peratus daripada rakyatnya serta tidak akan melakukan perkara-perkara yang menyalahi undang-undang menyalah guna kuasa mahupun mendabik dada. Negara juga akan ditimpa masalah jika golongan kaya tidak membantu golongan yang memerlukan bantuan.Kerendahan akhlak juga akan menyebabkan masyarakat terlibat dengan perkara yang tidak sepatutnya seperti mempertahankan hak seksual bebas atau dikenali sebagai kumpulan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

            Encik Rohami menegaskan bahawa perkara inilah yang perlu dikaji semula secara menyeluruh kerana sistem meritokrasi ini boleh membawa masalah kepada negara pada masa akan datang. Sistem meritokrasi mampu memberi masalah kepada institusi kekeluargaan pada masa akan datang. Hal ini kerana, sistem meritokrasi menyebabkan ketidakseimbangan pengambilan pelajar perempuan dan lelaki ke universiti. Kelak, golongan perempuan lebih mudah mendapat pekerjaan bergaji lumayan berbanding lelaki. Secara tidak lansung perkara ini mampu memberi implikasi negatif terhadap institusi kekeluargaan pada masa akan datang. Saya juga berasa perkara ini akan memandu ke  arah pembinaan sosial masyarakat yang tidak seimbang.

Secara kesimpulannya, pengemblengan tenaga antara pemimpin mahupun tokoh, guru dan ibu bapa demi menghasilkan pelajar berkualiti dan berakhlak mulia. Sistem pendidikan negara ini memerlukan ketiga-tiga pihak ini untuk kesejahteraan pada masa depan.

3. Laras bahasa yang digunakan
Laras bahasa dikaitkan dengan kesesuaian dengan bidang dan situasi bahasa atau konteks pengucapan dan dipengaruhi oleh tatabaha. Laras bahasa boleh ditakrifkan sebagai ciri-ciri khusus penggunaan bahasa mengikut bidang sesuatu wacana digunakan. Contohnya ialah, laras bahasa doa, khutbah dan mahupun upacara. Laras bahasa dipengaruhi oleh beberapa unsur latar seperti, penutur, peserta dan tujuan.

Rencana ini mempunyai laras bahasa yang sesuai untuk dibaca oleh umum. Rencana pendidikan ini merupakan rencana yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia. Setiap lapisan umur dapat membaca rencana ini dan memahaminya dengan mudah kerana penulis menggunakan bahasa standard. Penggunaan istilah-istilah juga diterangkan dalam rencana ini. Sebagai contoh dalam perenggan kelima ayat berikut:

Paling ketara, sistem pendidikan negara terlalu menumpukan aspek kejayaan meritokrasi melalui penilaian berdasarkan peperiksaan semata-mata dengan meminggirkan aspek akhlak mulia para pelajar.

Daripada ayat tersebut, penulis telah menerangkan perkataan meritokrasi dengan penerangan diikuti selepas perkataan tersebut iaitu ‘penilaian berdasarkan peperiksaan semata-mata’. Dengan ini, jika terdapat dalam kalangan pembaca yang terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah yang tidak mengetahui perkataan meritokrasi, mereka dapat memahami perkataan tersebut apabila membaca rencana ini. Hal ini secara tidak langsung menambah Iagi ilmu pengetahuan mereka.

4. Sistem Ejaan dan Tatabahasa.

Sistem Ejaan
Terdapat beberapa perkara yang perlu diperbaik dalam rencana pendidikan ini dari segi sistem ejaan dan tatabahasa. Kedua-dua aspek ini penting kerana pembaca akan meniru kaedah penulisan yang dibaca oleh mereka.

Salah satu aspek yang memerlukan penambah baikan ialah penggunaan huruf besar. Perkara pertama ialah penggunaan huruf besar pada tajuk rencana. Ejaan tajuk rencana pada surat khabar ialah :
“Ke  arah sistem pendidikan holistik”

Menurut buku Pedoman Umum Penggunaan Bahasa Melayu, huruf besar digunakan sebagai huruf pertama semua perkataan dalam nama buku, majalah, suratkhabar, dan judul karangan kecuali kata partikel, seperti di, ke, dari, untuk dan yang, yang tidak terletak pada kedudukan awal. Jadi , tajuk rencana pendidikan ini sepatutnya ditulis seperti ini :
“Ke Arah Sistem Pendidikan Holistik”

Penulis menggarapkan rencana ini menggunakan ejaan yang betul bagi ungkapan berhubung dengan nama Allah iaitu Allah SWT. Kebanyakan penulis lain tidak peka mengenai isu ini kerana masih banyak penulis yang mengeja sebagai Allah swt. Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu, ejaan yang sebenarnya bagi nama Allah ialah Allah SWT. Penulis rencana ini amat peka berkaitan kaedah penulisan nama Allah.

Penulis menggunakan banyak perkataan yang betul dan sesuai mengikut  laras bahasa yang sesuai nerdasarkan rujukan daripada buku Pedoman umum Ejaan Bahasa Melayu. Jadi, penulisan Encik Rohami memang sesuai dibaca oleh masyarakat yang terdiri daripada kanak-kanak, remaja mahupun orang dewasa.

Tatabahasa

Terdapat beberapa perkatan juga yang mememerlukan perhatian penulis kerana perkataan ataupun ayat tersebut tidak ditulis dengan mematuhi peraturan tatabahasa.

Salah satu perkara yang perlu diperbaik ialah penggunaan kata pemeri. Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, kata pemeri ialah unsure yang menjadi pemeri hal atau perangkai antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat . Terdapat dua jenis kata pemeri iaitu adalah dan ialah. Penggunaan kata pemeri adalah hanya boleh diikuti oleh frasa adjektif dan frasa sendi nama manakala penggunan kata pemeri ialah hanya boleh diikuti oleh frasa nama. Dalam perenggan keenam dalam rencana ini, penggunaan kata pemeri adalah tidak tepat berdasarkan ayat ini :

Mungkin tidak keterlaluan dikatakan salah satu penyebab utama berlakunya kebejatan sosial adalah kerana pendidikan itu sendiri tidak boleh menjaga dan melindungi akhlak generasi muda.

Penggunaan kata pemeri adalah dalam ayat tersebut diikuti oleh kata hubung kerana. Jadi, penggunaan ayat tersebut adalah tidak tepat. Sepatutnya kata pemeri ialah digunakan dan kata hubung kerana digugurkan dan ayat tersebut menjadi seperti ayat berikut :
Mungkin tidak keterlaluan dikatakan salah satu penyebab utama berlakunya kebejatan sosial ialah pendidikan itu sendiri tidak boleh menjaga dan melindungi akhlak generasi muda.

Seterusnya, penggunaan kata sendi nama di bagi ayat dalam perenggan sembilan adalah salah iaitu :
Kejayaan sistem pendidikan yang berasaskan akhlak dan adab akan membentuk sifat-sifat mulia di kalangan generasi akan datang seperti jujur, amanah, bertanggungjawab, sabar, tabah, cekal, yakin pada diri sendiri, mempunyai jati diri yang tinggi dan berani menyuarakan pendapat dengan cara berhemah.

Kata sendi nama di hanya boleh digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat. Ayat tersebut tidak menunjukkan bahawa penggunaan kata sendi nama di berada di hadapan kata nama yang menunjukkan tempat . Sebaliknya, kata sendi nama di perlu digantikan dengan kata sendi nama dalam kerana kata sendi dalam hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa pengertian lingkungan yang tidak mempunyai ruang dan jarak. Ayat yang betul bagi ayat bagi perenggan kesembilan ialah berikut :

Kejayaan sistem pendidikan yang berasaskan akhlak dan adab akan membentuk sifat-sifat mulia dalam kalangan generasi akan datang seperti jujur, amanah, bertanggungjawab, sabar, tabah, cekal, yakin pada diri sendiri, mempunyai jati diri yang tinggi dan berani menyuarakan pendapat dengan cara berhemah.
Penggunaan kata sendi di dalam ayat di pertama perenggan ke-sembilan juga salah :

Sudah tentu tiada siapa yang sanggup melihat negara kita berada di tangan para pemimpin yang sanggup menggadaikan masa depan negara demi kepentingan diri sendiri dan keluarga.

Sebetulnya kata sendi di digantikan dengan kata sendi dalam dan menjadi ayat sperti berikut :
Sudah tentu tiada siapa yang sanggup melihat negara kita berada dalam tangan para pemimpin yang sanggup menggadaikan masa depan negara demi kepentingan diri sendiri dan keluarga.

Ayat berikut juga menggunakan kata sendi nama di yang salah :
Puncanya tidak lain tidak bukan kerana kurangnya pemahaman dan penghayatan agama yang akhirnya membentuk akhlak dan adab yang rendah di kalangan generasi muda.

Kata sendi nama di hendaklah ditukarkan dengan kata sendi nama dalam. Ayat yang betul ialah berikut :
Puncanya tidak lain tidak bukan kerana kurangnya pemahaman dan penghayatan agama yang akhirnya membentuk akhlak dan adab yang rendah dalam kalangan generasi muda.

Penggunaan kata sendi nama antara juga hadir di hadapan kata nama atau frasa yang membawa pengertian lingkungan yang tidak mempunyai ruang atau jarak. Ayat berikut menggunakan kata sendi nama yang salah bagi kata sendi nama antara kerana meletakkan perkataan di antara :
Sebagai contoh, sistem ini telah menyebabkan keseimbangan di antara para pelajar perempuan dan lelaki.

Sepatutnya, ayat yang betul ialah :
Sebagai contoh, sistem ini telah menyebabkan keseimbangan antara para pelajar perempuan dan lelaki.

Selain itu, penggunaan kata siapa dalam ayat pertama perenggan ke-dua belas adalah salah kerana kata siapa dalam ayat tersebut merupakan penanda tidak tentu. Berikut merupakan ayatnya :
Sudah tentu tiada siapa yang sanggup melihat negara kita berada di tangan para pemimpin yang sanggup menggadaikan masa depan negara demi kepentingan diri sendiri dan keluarga.

Sepatutnya, kata siapa menerima penggandaan sebagai penanda tidak tentu dan menjadi perkataan sesiapa. Ayat sebenarnya akan menjadi begini :
Sudah tentu tiada sesiapa yang sanggup melihat negara kita berada di tangan para pemimpin yang sanggup menggadaikan masa depan negara demi kepentingan diri sendiri dan keluarga.

Di samping itu, penggandaan kata adjektif berentak kaya-raya tidak diletakkan sempang dalam perkataan tersebuat dalam ayat pertama perenggan ke-empat belas. Ayat berikut merupakan ayat yang salah :
Tidak ketingglan, tiada gunyanya kita melahirkan ramai golongan yang kaya raya tetapi amat lokek dan tidak sanggup membantu golongan miskin yang memerlukan.

Simbol tanda sempang berfungsi sebagai unsur-unsur kata ulang jadi tanda sempang perlu diletakkan pada perkataan kaya raya. Ayat yang betul ialah berikut :
Tidak ketingglan, tiada gunyanya kita melahirkan ramai golongan yang kaya-raya tetapi amat lokek dan tidak sanggup membantu golongan miskin yang memerlukan.

Selain itu, terdapat kesalahan penggunaan kata ganti diri nama kerana penulis menggunakan perkataan ‘ia’ sedangkan perkataan ia merujuk kepada kata ganti diri ketiga iaitu ‘dia’. Penggunaan kata ‘ia’ adalah salah seperti dua ayat di bawah :

Ayat pertama
Maka, golongan perempuan akan mudah mendapat pekerjaan bergaji lumayan manakala lelaki pula sentiasa ketinggalan dan akhirnya ia boleh merosakkan institusi kekeluargaan pada masa akan datang.

Ayat kedua
Kesannya bukan kepalang kerana ia boleh memberi implikasi sosial pada rakyat Malaysia.
Untuk menggantikan perkataan ‘ia’ , penulis seharusnya mengulangi subjek tersebut kembali kerana tiada kata ganti diri bagi objek yang bertindak sebagai subjek. Ayat yang benar ialah berikut :

Ayat pertama
Maka, golongan perempuan akan mudah mendapat pekerjaan bergaji lumayan manakala lelaki pula sentiasa ketinggalan dan akhirnya perkara ini boleh merosakkan institusi kekeluargaan pada masa akan datang.

Ayat kedua
Kesannya bukan kepalang kerana perkara ini boleh memberi implikasi sosial pada rakyat Malaysia.

5. Rumusan keseluruhan rencana.
Rencana pendidikan merupakan rencana yang mamou membuka mata dan minda para pembaca. Rencana sebegini perlu diperbanyak kerana dalam usaha memastikan rakyat Malaysia mempunyai pemikiran yang kritis, pihak media haruslah menyediakan bahan pembacaan sebegini. Penulisan rencana merupakan penulisan berilmiah yang akan menjadi rujukan pelajar mahupun para siswazah. Hal ini menunjukkan bahawa pentingnya penulisan rencana digarapkan dalam bentuk yang lebih formal tanpa sebarang kesalahan ejaan, istilah, fakta mahupun tatabahasa walaupun rencana seringkali bersifat pendapat peribadi para ilmuan.
Pada pendapat saya, penulisan rencana seharusnya perlu diperbanyakkan dan memerlukan pemerhatian tajam daripada pihak editor media bercetak mahupun media internet supaya kesalahan tatabahasa dan ejaan dapat dikurangkan. Dengan ini, pembaca dapat menerima banyak input mengenai tatabahasa daripada rencana itu sendiri tanpa perlu merujuk kepada kamus mahupun Tatabahasa Dewan.
Selain itu, saya merasakan bahawa rencana tulisan Encik Rohami Shafie sangat bagus melihatkan isi-isi kandungan rencana beliau padat dengan hujag yang kukuh mengenai sistem pendidikan di Malaysia dan pembinaan akhlak remaja. Secara peribadi, saya sendiri menyokong pendapat penulis rencana ini kerana beliau memberi alas an yang kukuh disebalik semua pendapat beliau. Walaupun terdapat beberapa kesalahan tatabahasa, namun perkara itu tetap tidak menghalang daripada tujuan utama menulis rencana tersebut iaitu menyampaikan pendapatnya kepada orang ramai melalui komunikasi bertulis.
Tuntasnya, saya merasakan bahawa penulisan rencana sangat penting kerana rencana mampu mencerna minda rakyat Malaysia untuk berfikir lebih kritikal dan seterusnya mengambil anjakan paradigm untuk terus maju ke hadapan dengan pelbagai ilmu pengetahuan di dada.

1 comment: