Tamadun Islam Tamadun Asia
Kesan Globalisasi Barat
Dampak globalisasi yang
dibawa oleh negeri-negeri barat telah lama nyata dan sememangnya memberi aneka
kesan kepada masyarakat dunia hari ini. Secara amnya, terdapat tiga jenis kesan yang
zahir hasil daripada globalisasi ini iaitu kesan dari aspek ekonomi, politik,
sosial dan hak asasi manusia. Kesan-kesan tersebut mempunyai ciri-ciri
pembawakan globalisasi itu sendiri.
Salah satu penyebab
globalisasi barat mudah diserap ke negara-negara di kawasan tamadun Asia adalah
kerana sejarah penjajahan yang lama ke atas negara-negara di Asia. Kesan
daripada penjajahan tersebut memberi implikasi besar terhadap perkembangan
negara tersebut daripada hal ekonomi sehinggalah ke hal politik.
Persoalannya, apakah
kesan-kesan globalisasi tersebut kepada ekonomi, politik sosial dan hak asasi masyarakat
kini?
1. Ekonomi
Umum maklum bahawa
iklim dunia hari ini dikuasai oleh blok negara barat lantaran mereka merupakan
kuasa dominan dalam sektor perdagangan dan mata wang mereka bernilai tinggi.
Penduduk8 di negara barat menggunakan peluang untuk memanipulasi ekonomi dunia
dengan beberapa cara seperti memperbanyak cawangan syarikat milik mereka di
negara-negara lain untuk menyebarluas produk buatan negara mereka.
Syarikat-syarikat gergasi milik negara barat semakin hebat bertapak di
negara-negara maju mahupun negara-negara membangun seperti syarikat pusat beli
belah Tesco dan Carrefour. Walaupun tidak dinafikan bahawa tindakan mereka
memberi keuntungan kepada rakyat tempatan, namun perkara ini juga mengundang
impak kepada masyarakat.
Kesan positif
daripada hasil tindakan negara barat ini memberi peluang pekerjaan kepada
penduduk tempatan manakala kesan negatifnya, syarikat-syarikat kecil milik
warga tempatan terpaksa bersaing sengit dengan syarikat gergasi tersebut. Tidak
terkecuali juga, kesan besar tersebut menimpa ke atas negara-negara membangun
yang terpaksa melakukan penyesuaian dan liberalisasi ekonomi untuk terus
menyertai negara maju yang jauh lebih cepat dalam arus globalisasi.
Selain itu, kesan
daripada globalisasi barat ialah lahirnya ramai pengguna yang tidak sihat
disebabkan masalah kesihatan. Hal ini berlaku lantaran negara barat giat
memperkenalkan industri makanan segera kepada seluruh pelosok dunia dengan
jenama-jenama makanan segera mereka seperti restoran McDonald , Kentucky Fried
Chicken (KFC) dan Pizza Hut. Pengaruh budaya menikmati makanan segera ini
diterima oleh rakyat dunia dengan bukti bahawa KFC mempunyai lebih 36,000
rangkaian cawangan di seluruh dunia. Walaupun sudah terang lagi bersuluh bahawa
makanan segera amat berbahaya lantaran kandungan garam , gula , lemak dan
Monosodium Glutamate (MSG) yang tinggi mampu membahayakan kesihatan, namun
masih ramai pengguna yang tidak mengambil endah. Hal ini amat merunsingkan
memandangkan jumlah penduduk dunia yang mengalami obesiti , penyakit jantung,
darah tinggi serta kencing manis semakin bertambah disebabkan oleh pengaruh
makanan yang dibawa oleh negara barat.
2. Politik
Politik tidak
terkecuali daripada menjadi salah satu aspek kuasa yang dimonopoli oleh blok
Barat yang diketuai oleh Amerika Syarikat kerana Amerika Syarikat merupakan
salah satu negara yang mempunyai delegasi ketenteraan yang mantap. Walaupun
kini terdapat banyak negara yang sudah menikmati kemerdekaan, namun negara
mereka hanya merdeka di atas kertas sahaja kerana negara barat masih menguasai
politik dunia dan negara-negara lain secara tidak sedar hanya akur pada arahan
mereka. Hakikatnya, negara-negara barat masih mengamalkan semangat jingoisme
iaitu semangat yang mendorong penguasaan
ke atas bangsa-bangsa lain.
Sebagai contoh, kuasa
Barat pernah campur tangan dalam sistem pemerintahan Turki Utmaniyah yang pada
ketika itu negara Turki di bawah pemerintahan Mustafa Kamal At-Tartuk. Selain
daripada corak pemerintahan Mustafa Kamal yang kejam dan mengubah undang-undang
negara yang bertentangan dengan ajaran Islam, kuasa barat telah mempengaruhi
Mustafa Kamal untuk menerapkan nila-nilai budaya barat dalam sistem perundangan
khilafah. Hal ini menyebabkan negara Turki pada ketika itu menjadi haru-biru
dan akhirnya sistem khilafah tewas serta menjadi sistem khilafah yang terakhir
yang diguna pakai di dunia pada tahun 1923. Perkara ini membuktikan bahawa
campur tangan kuasa barat dalam politik sesebuah negara akan menghancurkan
negara tersebut.
Di samping itu,
Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang sepatutnya menjaga hak asasi
kemanusiaan tidak pun menjalankan tugas mereka secara telus. Dengan adanya
Amerika sebagai salah sebuah negara yang paling berpengaruh di bawah PBB,
persatuan ini lebih menjaga kepentingan negara-negara yang memberi manfaat
kepada mereka. Mereka juga lebih mengikut telunjuk negara barat kerana
persatuan ini juga tidak berlaku adil kerana walaupun mereka berselindung di
sebalik propaganda membantu negara-negara di seluruh dunia, hakikatnya mereka
tidak pun membantu negara Palestin yang setiap masa diancam oleh Israel.
Palestin juga tidak didaftarkan sebagai sebuah negara yang sah walaupun
sebenarnya tanah bumi mereka merupakan negeri mereka yang sah namun telah dicemari
oleh bangsa Yahudi dari Israel. Negara Barat juga tidak berbuat apa-apa
terhadap perkara ini memandangkan mereka menyokong Israel. Hal ini membuktikan
bahawa pengaruh kuat mereka ke atas PBB membuatkan persatuan ini tidak mampu
menjaga keamanan dunia kepada negara-negara yang bergolak dan berlaku berat sebelah
hanya disebabkan negara barat mempunyai kuasa dominan di dunia kini.
Tidak
cukup dengan itu, negara Amerika Syarikat memperalatkan Majlis Keselamatan PBB
untuk mencapai keinginan mereka pada satu-satu masa. Misalnya, siri pengeboman
ke atas Sudan dan Afghanistan pada tahun 1998 telah dirancang oleh Amerika
Syarikat yang kononnya tempat tersebut merupakan tempat persembunyian
pengganas. Hakikatnya, mereka berkemahuan ke atas hasil minyak petrol dan
kekayaan negara-negara tersebut.
3. Sosial
Sosial merupakan
salah satu cabang utama dalam penyebaran globalisasi dan hegemoni Barat. Apakah
bukti bahawa agenda media dan budaya barat menular dalam kalangan masyarakat
kini?
Media gergasi dunia
sudah semestinya dikawal dan didominasi oleh negara Barat. Rancangan berita dunia seperti CNN dan BBC
semestinya menjadi pilihan penduduk dunia kerana dua stesyen televisyen ini
amat popular dan sentiasa memaparkan berita-berita terkini. Berbekalkan sumber
media inilah, negara barat dapat menyebarkan agenda mereka ke seluruh pelosok
dunia dengan cepat sekali. Jaringan internet juga mudah didapati sekarang di
mana-mana tempat. Hal ini menambah lagi proses kepantasan seuatu maklumat
disampaikan kepada umum melihatkan dunia kini di hujung jari. Berita-berita
yang disebarkan oleh media elektronik mahupun media cetak barat memberi gambaran
kepada masyarakat dunia mengenai persepsi mereka tanpa menghiraukan persepsi
dan nilai negara lain. Mereka akan memerangi negara yang ingkar pada suruhan
mereka dan hal ini dapat diumpamakan seperti lembu dicucuk hidung.
Negara-negara sekitar lain terpaksa menerima arahan mereka walau tanpa
kerelaan.
Melalui media juga
nilai-nilai dan budaya kebaratan diluaskan dengan tujuan penduduk dunia lain mengikut
budaya kebaratan mereka. Misalnya, pembawaan budaya hedonisme atau semakin
hebat dewasa ini kerana dunia penyiaran memaparkan hiburan yang terlalu banyak
kepada golongan remaja. Hampir setiap hari ada sahaja filem terbaru dari barat
yang ditayangkan di kaca televisyen. Nilai-nilai yang bercanggah dengan nilai
kebaratan terlalu banyak yang ditonjolkan dalam filem mereka seperti pergaulan
bebas dalam kalangan lelaki dan perempuan. Perkara ini amat merisaukan
masyarakat kerana sehingga kini, terlalu banyak implikasi kesan daripada
penyebaran nilai ini. Sebagai contoh, terdapat banyak kes pembuangan bayi dan
masalah seks bebas dalam kalangan pelajar sekolah kini. Artis-artis dari
Hollywood seperti Madonna, Britney Spears, Justin Bieber dan banyak lagi, pula
menjadi pujaan remaja-remaja berjiwa kosong yang mengimpikan khayalan dan
fantasi semata-mata. Perkara ini meruntuhkan jati diri seseorang individu itu
dan membantutkan modal insane negara. Dengan ini, setiap individu dalam
masyarakat perlu lebih peka dalam mendidik remaja kini untuk mengelakkan
pengaruh budaya barat semakin rancak menular.
4. Hak Asasi Manusia
Setiap manusia berhak
mendapat hak mereka masing-masing walau berada di negara mana sekalipun. Hak
asasi kemanusiaan ini sepatutnya dibela dan dipertahankan supaya tidak ada
seorang pun yang dizalimi atau ditindas. Namun demikian, propaganda barat telah
menghakis hak asasi kemanusiaan ini. Menurut Ahmad Zaki et. All (2012) , PBB
telah mengisytiharkan hak asasi manusia sedunia dengan tujuan untuk menjaga
kebebasan dan melindungi hak asasi seluruh warga dunia. Namun demikian, hak
asasi juga perlu sesuai dan tidak melampaui batas. Trenda berkahwin sejenis di
negara barat dipertahankan oleh Persatuan Lesbian Gay Bisexual Transsexual
(LGBT) atas alas an hak asasi kemanusiaan. Hal ini amat bercanggah dengan nilai
agama dan norma kehidupan. Walaupun perkara ini di luar batasan , negara barat
telah meluluskan usul Persatuan LGBT. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dan
dikhuatiri merebak ke negara-negar lain pula.
alhamdulillah terima kasih ^^
ReplyDelete