Sebarkan ilmu,didik ummah dengan ilmu * moga bermanfaat dan diredhai Allah ^_^

About Me

My photo
23, happy and contented. Future nation's hope.

Thursday, August 29, 2013

Bentuk Masalah bagi Kategori Autisme untuk Bahasa dan Komunikasi dan Intervensi Masalah Bahasa Kanak-KAnak Autisme

In the Name Of Allah, The Most Merciful and Most Gracious.

Bentuk Masalah bagi Kategori Autisme untuk Bahasa dan  Komunikasi

1. Bacaan
Judi RandiTina Newman, dan Elena L. Grigorenko dalam artikel mereka menyatakan bahawa kanak-kanak autistik mempunyai kemahiran memahami teks yang ringkas namun kurang berkemahiran dalam memahami sesuatu perkara atau teks secara mendalam dan menyeluruh. Hal ini menunjukkan bahawa kanak-kanak autistik akan mempunyai masalah apabila berhadapan dengan bahan bacaan. Walaupun kanak-kanak autisme boleh melihat dan mendengar, namun kecacatan mereka menghalang mereka memahami maksud yang terdapat dalam bahan bacaan.

Menurut K.A. Razhiyah (2006), kanak-kanak autisme mempunyai tumpuan belajar yang singkat, mudah jemu dan tidak berminat terhadap pembelajaran secara teori. Hal ini mengakibatkan kanak-kanak autistik sukar untuk berjinak dengan bahan bacaan memandangkan tumpuan belajar (attention span) mereka amat singkat.
Roziah Abd Hamid (2005) dalam jurnal Tiong Leh Ling & Zaidatun Tasir menyatakan bahawa,

“Kegagalan menguasai kemahiran membaca menyebabkan pelajar tidak dapat membaca dengan betul dan lancar malah mereka tidak akan dapat menjawab soalan yang akan dikemukakan”

Kemahiran membaca sememangnya amat penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak. Maka, kanak-kanak autistik yang tidak mempunyai masalah dengan proses pembelajaran seharusnya diberikan kaedah yang sesuai untuk membolehkan mereka belajar membaca.

Kanak-kanak autistik mempunyai kelebihan dan kelemahan, masing-masing juga berada di tahap lebih atau kurang daripada tahap pertengahan. Mereka yang mempunyai intelek di tahap pertengahan dan ke atas kadang-kadang disebut sebagai berfungsi tinggi (high-functioning autism) (Howlin 2000) dalam Judi RandiTina Newman, dan Elena L. Grigorenko. Kanak-kanak yang berada pada tahap pertengahan dan ke atas mampu belajar dan memahami pembelajaran dan bahan bacaan. Namun demikian, kadang-kala kelompok ini juga mempunyai masalah dengan pembacaan pemahaman.

Ciri-ciri kanak-kanak autistik mempunyai masalah dalam bacaan boleh dikenalpasti dengan memerhatikan respon atau tindak balas kanank-kanak itu terhadap bahan bacaan. Sebagai contoh, kanak-kanak autistik tidak akan menunjukkan minat terhadap bahan bacaan namun mungkin berminat jika diberi bahan bacaan yang pendek dan bergambar. Hal ini menunjukkan bahawa kanak-kanak autistik sukar menumpukan perhatian sepenuhnya pada satu-satu perkara dalam bahan bacaan yang berat dan lebih suka kepada perkara visual.

Terdapat beberapa faktor kanak-kanak autistik tidak dapat membaca dengan baik iaitu persekitaran dan pemakanan. Persekitaran sekeliling kanak-kanak autistik memainkan peranan penting dalam mencorakkan budaya kerja kanak-kanak autistik. Kanak-kanak yang mempunyai autisme pada peringkat sederhana masih mampu belajar. Mereka yang sering didedahkan dengan bahan bantu belajar seperti kad imbas dan buku cerita bergambar, ternyata mampu belajar sama seperti kanak-kanak normal atau lebih baik lagi.

Pemahaman kanak-kanak autistik boleh terganggu disebabkan pemakanan yang salah. Hal ini berikutan dengan kajian yang menyatakan bahawa pemakanan yang tidak berzat boleh mempengaruhi pertumbuhan sel otak dan menyebabkan gangguan pada pemahaman, interaksi dan komunikasi murid.

2. Lisan

Kanak-kanak autistik yang sukar berinteraksi dan berkomunikasi dengan masyarakat sekitar sememangnya mempunyai masalah dengan komunikasi dan interaksi lisan. Kajian yang dilaporkan di Amerika Syarikat menunjukkan bahawa kanak-kanak autistik yang tidak boleh bertutur atau mempunyai kemahiran bertutur yang minimum adalah 25% sehingga 60%. Statistik ini menunjukkan bahawa kanak-kanak autistik sebenarnya berhadapan dengan masalah yang serius berkaitan dengan lisan.

Terdapat beberapa simptom yang boleh dikenal pasti pada kanak-kanak autistik. Kanak-kanak autistik tidak akan memberi tindak balas pada orang yang memanggil mereka. Mereka juga sentiasa berada dalam dunia mereka seolah-olah berkomunikasi dengan masyarakat dan keluarga adalah tidak penting. Kanak-kanak autistik juga memulakan pertuturan pada peringkat kanak-kanak dengan lambat. Perkembangan mereka yang berbeza dan lewat berbanding kanak-kanak normal membuatkan mereka lambat boleh bercakap. Namun demikian, terdapat segelintir kanak-kanak autistik yang lain gagal untuk bercakap sama sekali disebabkan oleh tahap keseriusan masalah autisme tersebut. Kanak-kanak autistik juga kelihatan sangat pendiam berbanding kanak-kanak seusia mereka yang lain.

Di samping itu, kanak-kanak autistik hanya dapat bertutur dalam masa yang singkat dan tidak lama. Mereka banyak berkomunikasi hanya dengan menggunakan bahasa badan.

Terdapat beberapa ciri yang boleh dilihat pada lisan kanak-kanak autistik dari segi fonologi atau perkembangan dan proses pertuturan. Kanak-kanak autistik mempunyai masalah berkenaan ciri-ciri suprasegmental dalam pengeluaran bunyi dari segi tekanan dan sebutan huruf. Kadang-kala mereka bercakap seperti menyanyi dan vokal suara yang terlalu rendah atau terlalu tinggi.

Kanak-kanak autistik juga sering menggunakan perkataan atau istilah yang tidak sesuai bagi maksud sesuatu perkataan. Sebagai contoh, kanak-kanak autistik akan keliru dengan penggunaan kata ganti diri bagi saya dan kita. Saya merujuk kepada kata ganti diri pertama dan kita merujuk kepada kata ganti diri ketiga. Kanak-kanak autistik akan keliru dalam penggunaan yang sesuai bagi kata ganti diri ini Hal ini berlaku berikutan kurangnya pendedahan yang mereka dapat mengenai perkataan dan istilah yang sesuai serta bentuk penggunaannya. Perkara ini dikaitkan dengan maslah pragmatik di mana mereka gagal membentuk penyusunan perkataan yang betul.

            Selain itu, kanak-kanak autistik sering bercakap menggunakan ton suara yang sama atau monoton. Intonasi percakapan yang tidak berubah menjadikan suara mereka kedengaran kekok pada orang lain namun tidak menjadi masalah bagi mereka. Masalah ini berlaku kerana mereka tidak berupaya untuk memproses ciri-ciri pertuturan suprasegmental.

           Sesetengah kanak-kanak autistik mengalami gangguan proses auditori pusat (Central Auditory Processing  Disorders/ CAPD). Masalah ini membawa kesan kepada kanak-kanak autistik kerana gangguan penerimaan bahasa akan menyebabkan mereka tidak memahami perkataan yang dituturkan walaupun menggunakan suara yang kuat. Mereka tidak mengalami masalah mendengar namun, otak tidak dapat mencerna maksud perkataan yang diujarkan. Perkara ini jelas mengundang masalah komunikasi dari segi lisan kepada kanak-kanak autistik.
            Kanak-kanak autistik sering terikat dengan satu-satu topik perbualan ketika bercakap dan berulang-ulang (Ministry of Education British Columbia, 2000). Sebagai contoh, kanak-kanak autistik yang sedang bercerita tentang permainan kesukaannya akan terus bercerita mengenai permainan tersebut dan kadang-kala berulang-ulang. Hal ini terjadi ekoran kanak-kanak ini suka pada pelaziman dan tidak suka pada perubahan. Mereka hanya melakukan satu perkara pada satu-satu masa dan sukar untuk berubah pada perkara lain ketika bercakap mahupun ketika melakukan perkara lain.

            Kanak-kanak autistik juga sangat sukar untuk memulakan perbualan lantaran kurangnya keyakinan diri mereka. Semua perkara yang berkaitan dengan kanak-kanak autistik sepatutnya diambil berat oleh guru-guru supaya masalah yang mereka hadapi dapat diselesaikan dengan menggunakan kaedah yang betul.

3. Tulisan
Kemahiran menulis dalam kalangan kanak-kanak dan remaja yang mengalami masalah autisme merupakan salah satu kelemahan pada mereka. Sebahagian daripada kanak-kanak autistik juga mempunyai masalah disgrafia. Definisi bagi disgrafia adalah luas dan lazimnya ditakrifkan sebagai masalah pembelajaran yang sering dikaitkan dengan kesukaran dalam mengeja, tulisan tangan yang tidak kemas, tidak betul dan sukar dibaca serta bermasalah dalam memindahkan maklumat. Masalah disgrafia ini dikaitkan dengan Motor Dysgraphia yang didefinisikan sebagai masalah yang disebabkan oleh kekurangan dari segi kemahiran motor halus.

Masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak Autisme yang mempunyai masalah Disgrafia ialah mempunyai tulisan yang tidak seragam dan huruf yang salah, tidak tahu mengeja dengan betul, tertinggal huruf ketika menulis, ruang terlalu dekat antara dua perkataan serta kesalahan ejaan perkataan yang tidak lengkap.


Intervensi untuk pemulihan masalah Bahasa Kanak-kanak berkeperluan khas masalah autisme

Intervensi awal ialah satu proses membekalkan perkhidmatan, pendidikan dan sokongan kepada kanak-kanak yang berisiko atau yang mengalami kelambatan dalam perkembangan fizikal atau mental yang akan mempengaruhi perkembangan dan menghalang pembelajaran. Memandangkan autisme merupakan masalah kecacatan sepanjang hayat, maka adalah mustahil untuk menyembuhkan kanak-kanak autisme menjadi normal seperti kanak-kanak biasa. Walau bagaimanapun, kanak-kanak autisme dapat dipulihkan menjadi lebih baik jika diberi intervensi yang bersesuaian dengan mereka. Masalah bahasa dan komunikasi yang mereka hadapi boleh dikurangkan sedikit sebanyak dan memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk berinteraksi seperti biasa.

Intervensi yang perlu  dilakukan untuk kanak-kanak autistik perlu diberi perhatian kepada 3 bentuk bahasa yang terlibat iaitu dari segi bacaan,lisan dan tulisan.

1. Intervensi Bacaan
Kanak-kanak autisme sukar menumpukan perhatian kepada bacaan yang mempunyai perenggan yang panjang dan mengandungi perkataan yang susah. Mereka lebih cenderung untuk mudah menghafal perkataan yang singkat. Dengan ini, guru-guru boleh menarik perhatian kanak-kanak autisme dengan menggunakan tiga peringkat dalam usaha mendidik mereka untuk belajar membaca. Peringkat-peringkat ini ialah, penggunaan gambar, penggunaan gambar dan suku kata pendek dan penggunaan suku kata panjang pada kad imbas.

Penggunaan gambar pada kad imbas tersebut bertujuan untuk menarik minat pelajar dan seterusnya guru perlu menyebut objek yang terdapat dalam gambar tersebut berulang kali bersama-sama dengan pelajar. Mengunakan gambar yang sama, guru perlu beralih kepada peringkat yang kedua iaitu denga meltakkan perkataan di bawah gambar tersebut. Kanak-kanak perlu diajar untuk membaca perkataan tersebut berulang-ulang dan akhirnya, guru perlu membuang gambar pada kad imbas tersebut dan melatih kanak-kanak untuk menyebut perkataan tersebut tanpa bantuan gambar. Kaedah ansur maju ini sediikit sebanyak mampu memberi kesan positif kepada kanak-kanak autistik untuk memperbaik kemahiran membaca mereka.

Selain itu, guru perlu menggunakan bahan ICT dalam mendedahkan tentang bahan bacaan kepada kanak-kanak autistik. Bahan bacaan ICT yang terdiri daripada audio dan visual yang menarik sedikit sebanyak mampu menarik minat mereka untuk mendengar sambil membaca apa yang tertera di skrin komputer atau televisyen. Guru boleh menggunakan perisian(software) ringkas yang boleh dimuat turun daripada internet yang mengandungi bahan bantu mengajar untuk kanak-kanak autisme.

Di samping itu, penggunaan muzik dalam proses pengajaran kaedah membaca dapat membantu kanak-kanak membaca dengan lebih baik. Ahli sains menyatakan bahawa kanak-kanak yang terdedah kepada muzik dan instrumen mempunyai potensi yang lebih baik untuk cemerlang dalam akademik. Dengan ini, guru boleh menggunakan lagu sebagai set induksi untuk mengajar murid autisme. Dengan adanya muzik iringan, kanak-kanak autistik dapat menyanyi sambil membaca lirik. Hal ini dapat memberi kesan positif kepada kanak-kanak ini dalam aspek pembacaan.

2. Intervensi Lisan

Untuk lisan pula, terdapat banyak perkara yang boleh guru lakukan untuk memperbaik masalah lisan murid autistik. Pertama, guru perlu melatih murid untuk mematuhi arahan yang mudah. Sebagai contoh, arahan ‘Duduk’ , ‘Lihat’ dan sebagainya. Arahan yang mudah ini akan memberi pemahaman kepada murid dan dia mampu mengikutinya. Guru juga perlu memastikan murid autistik menyebut perkataan arahan bersama guru dengan tujuan murid tersebut dapat mengingat arahan dan melakukannya. Seterusnya guru boleh memberi arahan yang lebih panjang selepas terdapat perubahan pada murid yang mematuhi arahan mudah.

Kedua, guru perlu mengaplikasikan teknik Komunikasi Augmentatif dan Alternatif (AAC) dalam proses memperbaik masalah komunikasi kanak-kanak autisme. Teknik AAC yang mempunyai 3 komponen iaitu teknik komunikasi, sistem simbol dan kemahiran komunikasi. Teknik komunikasi terbahagi kepada dua iaitu dengan bantuan dan tanpa bantuan. Teknik komunikasi tanpa bantuan ini boleh dipraktikkan oleh guru bersama murid autistik dalam kelas. Hal ini kerana kaedah ini tidak memerlukan alat sokongan luaran atau prosedur khas. Guru hanya perlu menggunakan kaedah pertuturan, bahasa isyarat, bahasa badan dan mimik muka. Selain itu, kaedah ini tidak menggunakan kos mahupun sebarang alat sokongan luar. Namun demikian, guru perlu melakukan kaedah ini berulang kali setiap hari untuk memastikan kanak-kanak autistik dapat mengingat  pembelajaran mereka dengan mudah.

Ketiga, intervensi yang boleh dilakukan untuk kanak-kanak autistik ialah dengan membawa mereka ke lawatan sambil belajar. Lawatan sambil belajar mampu membuatkan murid lebih seronok untuk belajar di samping melihat tempat yang menarik. Murid juga dapat menambah perbendaharaan kata dengan lawatan sambil belajar. Misalnya, lawatan ke zoo untuk kanak-kanak autistik boleh memberi peluang kepada mereka untuk mengenal nama-nama haiwan di alam sebenar. Dengan adanya pengalaman langsung, murid autistik dapat belajar untuk memperbaik lisan  dengan lebih baik.

3. Intervensi Tulisan
           
            Aspek tulisan kanak-kanak autisme juga boleh diperbaik dengan melakukan beberapa intervensi.
Terdapat beberapa perkara yang boleh membantu masalah tulisan kanak-kanak autistik. Misalnya, kanak-kanak autistik perlu diajar cara memegang pensel dan alat tulis dengan betul.
Guru perlu membimbing murid dengan memegang tangan murid sambil membimbing menulis. Murid juga perlu mengimbangkan kestabilan tangan ketika menulis dan menggerakkan tangan secara konsisten. Selain itu, sebelum murid boleh diajar dengan kemahiran menulis, guru perlu memastikan tahap kemahiran motor halus kanak-kanak tersebut. Guru perlu menekankan kemahiran motor halus kanak-kanak dengan melakukan aktiviti ringkas seperti menguli doh. Dengan menguli doh, saraf dan urat murid tidak akan menjadi tegang dan seterusnya memudahkan murid untuk memegang pensel dengan baik. Latihan pra-tulisan amat penting bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah dengan tulisan. Guru perlu memperkenalkan latihan pra-tulisan yang terdiri daripada menulis mengikut garisan bertitik, membentuk huruf di udara, dalam air dan di atas pasir, latihan membentuk garisan lurus, bentuk melengkung dan sebagainya.

Selain itu, Yusop Bin Hj. Malie dan Walter Alvin Jiniti (2010) mencadangkan bahawa kad huruf atau abjad bagi membina perkataan adalah satu daripada cadangan kaedah yang digunakan bagi meningkatkan pemahaman huruf dengan lebih baik Kad huruf boleh digunakan kerana murid akan dapat fokus lebih kepada huruf yang diambil dan dibina. Hal ini kerana murid diberi peluang untuk memilih kad yang disukainya dan membina perkataan atau ayat sendiri. Kaedah ansur maju ini perlu diikuti dengan murid autitstik menyalin kembali perkataan berkenaan ke dalam buku latihan. Cara lain ialah, murid menyusun kad huruf membentuk perkataan dengan dibantu guru, dan menulis semula perkataan tersebut ke papan hitam. Perkara ini bukan sahaja memberi kemahiran baharu kepada murid untuk menulis di papan hitam, malah membina keyakinan murid untuk tampil ke hadapan dan menulis.

Untuk mengatasi masalah jarak perkataan yang terlalu dekat, guru boleh menyuruh pelajar supaya meletakkan sebatang pensel setiap kali selepas menulis perkataan. Perkara ini bertujuan murid dapat menjarakkan tulisan antara setiap perkataan  dan mengemaskan tulisan mereka.


 May Allah Bless ^_^

3 comments:

  1. Mohon share...boleh sy tahu sumber maklumat ni? Coz its good info

    ReplyDelete
  2. Mohon share...boleh sy tahu sumber maklumat ni? Coz its good info

    ReplyDelete