Sebarkan ilmu,didik ummah dengan ilmu * moga bermanfaat dan diredhai Allah ^_^

About Me

My photo
23, happy and contented. Future nation's hope.

Thursday, September 19, 2013

Konsep Boneka dalam Pengajaran dan Pembelajaran

In the Name of Allah, The Most Merciful and Most Gracious

Konsep Boneka dalam Pengajaran dan Pembelajaran
Terdapat banyak teknik pengajaran yang boleh digunakan untuk menarik perhatian kanak-kanak dalam pendidikan yang dapat dijadikan sebagai Bahan Bantu Mengajar. Beberapa contoh teknik tersebut ialah seperti boneka dan permainan bahasa. Bagi Tugasan Projek tugasan 1 untuk individu di bawah tugasan Penggunaan Modul Literasi dan Aplikasi Teknik Pengajaran, saya telah memilih teknik boneka.

            Boneka merupakan salah satu permainan tertua di dunia kerana permainan ini telah menjadi salah satu alat hiburan dalam kalangan orang kebanyakan sejak zaman ketamadunan Yunani, Romawi dan Mesir lagi. Perkataan boneka berasal daripada bahasa Portugis “Boneca” yang membawa maksud hidup. Secara ringkasnya, boneka dapat didefinisikan sebagai sesuatu objek atau benda bukan hidup yang dilakukan oleh pemain sama ada secara sentuhan atau arahan bagi menyampaikan mesej.

Konsep boneka amat mudah difahami kerana setiap objek boleh dijadikan sebagai boneka selagi objek itu digerakkan oleh pemain. Pemain berperanan untuk menghidupkan watak boneka itu untuk menyampaikan mesej secara lisan dan pergerakan tubuh. Boneka boleh terdiri daripada haiwan, bunga, atau sebarang objek untuk dianimasikan dan dimanipulasikan oleh pemain dalam persembahan mereka.

            Terdapat berbagai-bagai jenis boneka yang telah direka oleh manusia. Sebagai contoh ialah boneka tangan, boneka jari, boneka tali, boneka tongkat, boneka lidi dan boneka layang-layang. Fungsi boneka-boneka ini ialah untuk menyatakan ekspresi, informasi, eksplorasi, persuasi dan melayan. Guru-guru yang mahu menukar suasana pengajaran dan pembelajaran boleh menggunakan kaedah teknik boneka untuk menarik perhatian murid. Boneka yang terdiri daripada banyak saiz ini juga mudah dibawa ke mana-mana dan muudah dihasilkan.

Di samping itu, boneka mempunyai beberapa kelebihan kerana boneka boleh menyampaikan mesej dengan efektif. Di sebalik teknik boneka yang menggunakan kaedah penceritaan ini, pelbagai mesej positif dan nilai murni dapat diselitkan dalam persembahan tersebut. Guru perlu kreatif dalam merangka perjalanan cerita yang bukan sahaja menarik dan menghiburkan malah mengandungi beraneka nilai murni.    

            Selain itu, teknik boneka memberi pendedahan kemahiran berkomunikasi kepada kanak-kanak. Kanak-kanak yang mempunyai masalah komunikasi seperti kanak-kanak autisme sepatutnya diberi teknik mengajar dengan menggunakan boneka. Mereka akan tertarik dengan penceritaan menggunakan boneka. Hal ini secara tidak langsung dapat memulihkan masalah komunikasi mereka sedikit demi sedikit. Kanak-kanak juga dapat menambah perbendaharaan kata mereka. Tambahan pula, teknik boneka juga dapat mencipta dan merangsang daya imaginasi murid. Bermain sambil belajar juga merupakan salah satu aktiviti yang terdapat dalam tunjang Kurikulum standard Sekolah Rendah iaitu Didik Hibur. Munurut Fauziah Md. Jaafar, aktiviti bermain merupakan satu aktiviti yang menjadi fitrah bagi kanak-kanak. Mereka akan meneroka, menjelajah, inkuiri penemuan dan pembinaan melalui pengalaman langsung secara semula jadi. Hal ini membuktikan bahawa kanak-kanak perlu didedahkan dengan teknik boneka supaya murid dapat belajar sesuai dengan keperluan mereka. Hal ini membuktikan bahawa teknik boneka amat berkesan untuk pembelajaran kanak-kanak.

            Cara perlaksanaan teknik boneka ini berbeza-beza mengikut jenis boneka yang dimainkan. Boneka jari dimainkan dengan diletakkan pada hujung jari dan diperbuat daripada sarung tangan berbentuk kepala boneka. Boneka jari dimainkan dengan menggerak-gerakkan jari tersebut. Bagi boneka tangan pula, boneka ini dimainkan dengan tangan. Boneka ini terdiri daripada kepala dan dua tangan, manakala bahagian badan dan kakinya hanya merupakan baju yang akan menutup tangan dan lengan orang yang memainkannya. Cara memainkannya adalah dengan menggerakkan kepala boneka tangan dengan menggunakan jari, manakala ibu jari dan jari kelinking menggerakkan tangan boneka itu. Selain itu, terdapat boneka tongkat. Boneka ini dinamakan sebagai boneka tongkat kerana cara memainkannya adalah dengan menggunakan tongkat. Bagi boneka tali pula, boneka ini atau yang dikenali sebagai ‘Marionet’ banyak dipakai di negara Barat. Boneka tali diperbuat daripada anak patung biasa yang dipakaikan tali pada anggota badannya seperti kepala, kaki dan tangannya. Cara menggerakkannya ialah dengan menggerakkkan tali-tali tersebut dimana orang yang memainkannya perlu berada di atas dan boneka tersebut dibawah. Perlaksanaan permainan boneka tali agak rumit dan memerlukan kemahiran daripada orang yang sudah mahir. Selain itu, boneka bayang-bayang pula dimainkan dengan mempertontonkan gerak bayang-bayang boneka tersebut. Boneka itu juga dikenali sebagai wayang kulit. Wayang kulit sering dimainkan di beberapa buah negara di kawasan Asia Tenggara seperti Terengganu dan Kelantan di Malaysia serta Jawa di Indonesia. Perlaksanaan boneka bayang-bayang atau wayang kulit memerlukan ruangan yang gelap dan tertutup untuk membuat bayang-bayang.


            Kesimpulannya, dapatan analisis daripada teknik boneka menunjukkan bahawa perlaksanaan teknik ini dalam pengajaran dan pembelajaran amat relevan. Teknik ini wajar dipraktiskan oleh guru untuk memastikan pembelajaran kanak-kanak dapat dijalankan selari dengan perkembangan mereka.

May Allah Bless :)

1 comment: