Sebarkan ilmu,didik ummah dengan ilmu * moga bermanfaat dan diredhai Allah ^_^

About Me

My photo
23, happy and contented. Future nation's hope.

Monday, April 6, 2015

Ulasan Artikel Orientasi dan Mobiliti

Tajuk Jurnal    : Orientation and Mobility for Children who are Deafblind
Penulis            : Teachers College, Columbia University

Orientasi dan Mobiliti merupakan salah satu cabang dalam Pendidikan Khas Masalah Penglihatan yang amat penting bagi individu bermasalah penglihatan. Hal ini kerana, individu bermasalah penglihatan mempunyai limitasi dalam kehidupan untuk bergerak disebabkan kecacatan yang dialami mereka. Oleh yang demikian, amat penting bagi setiap individu bermasalah penglihatan bagi setiap peringkat umur untuk menguasai Orientasi dan Mobiliti (O & M). Artikel yang dikeluarkan oleh Teachers College, Columbia University bertajuk Orientation and Mobility for Children who are Deafblind ini menyatakan tentang kesan pergerakan terhadap perkembangan kanak-kanak, kelebihan dan kepentingan O & M untuk kanak-kanak buta pekak dan strategi O & M. Ulasan kritis artikel ini berkisar tentang kelebihan dan kepentingan O & M terhadap individu bermasalah penglihatan.

            Berdasarkan artikel ini, terdapat beberapa kelebihan mempelajari Orientasi dan Mobiliti, iaitu salah satunya ialah murid dapat belajar tentang persekitarannya dan cara bergerak dalam kawasan tersebut. Murid yang mendapat pendedahan terhadap O & M dapat bergerak dalam sesebuah kawasan berpandukan kaedah yang bersesuaian dengan selamat, di samping dapat membina keyakinan diri murid. Hal ini disokong oleh D. Jay Gens dan Ed.S. Marilyn Gense (2004) dalam artikelnya bahawa kebolehan Orientasi dan Mobiliti berfungsi untuk membolehkan murid memahami persekitaran dan bergerak dengan selamat dalam sesuatu kawasan, yang mana perkara ini adalah komponen penting bagi perkembangan (murid) pada masa hadapan, serta dapat memupuk rasa keyakinan dan kejayaan dalam diri murid. Oleh yang demikian, saya berpendapat bahawa, individu bermasalah penglihatan sewajarnya mendapat pendedahan O & M supaya mereka terdedah dengan persekitaran di samping dapat meyesuaikan diri dalam menjalani kehidupan seharian dengan yakin.

Selain itu, arahan-arahan yang terkandung dalam silibus O & M juga bukan sahaja dapat memberi pendedahan tentang kaedah bergerak sahaja, malah dapat mendidik murid bermasalah penglihatan tentang perkembangan kognitif dan sensori mereka. Apabila murid bermasalah penglihatan ini bergerak dan belajar tentang persekitaran, mereka secara tidak langsung telah diberi peluang untuk mendapat pengalaman sensori yang berbeza melalui pengalaman sentuhan tactile. Perkara ini disokong oleh Texas School for the Blind and Visually Impaired dalam artikelnya, The Role of Orientation and Mobility Teacher in Public Schools yang menyatakan bahawa kemahiran sensori, perkembangan murid, perkembangan motor dan hubungan antara persekitaran serta komuniti adalah saling berkait rapat dengan pengajaran O & M. Arahan yang diberikan kepada murid semasa membimbing mereka melakukan O & M semestinya dikaitkan dengan kognitif, persepsi, sosial, daya saing, personaliti dan perkembangan bahasa murid.

Di samping itu, peningkatan sensori ini dapat mengajar murid untuk memanfaatkan saki baki deria-deria sebaik mungkin. Dengan adanya hubungan langsung murid dengan persekiraran, murid bermasalah penglihatan dapat membina perkembangan konsep dengan lebih konkrit terhadap persekitaran. Artikel ini juga menegaskan bahawa, O & M dijalankan dengan melakukan sesuatu kemahiran secara berulang-ulang. Pengulangan inilah yang dapat meneguhkan perkembangan  konsep murid bermasalah penglihatan seperti konsep spatial, konsep persekitaran dan konsep sosial. Sebagai contoh, mereka dapat membezakan konsep persekitaran kawasan padang sekolah dan kawasan taman permainan kerana telah didedahkan dengan pengalaman langsung mengenai perbezaan kawasan yang hampir sama. Lagi pula, pengulangan tersebut dapat memberikan rasa selamat kepada murid kerana mereka akan terbiasa dengan kawasan sekitar. Perasaan selamat semasa begerak ini sekaligus dapat meningkatkan keyakinan serta daya saing dalam diri. Artikel Benefits of Orientation and Mobility dari Texas School for the Blind and Visually Impaired menyokong pendapat ini dengan menyatakan bahawa apabila murid bermasalah penglihatan memahami persekitaran mereka, mereka akan rasa selamat. Hal ini memberi peluang kepada murid untuk terus meneroka kawasan sekitar dan bersosial termasuklah di rumah, sekolah dan komuniti dengan selamat.

Tambahan lagi, O & M juga dapat memperbetulkan kaedah pergerakan murid bermasalah penglihatan untuk berjalan dan bergerak dengan meningkatkan daya imbang diri dan kekuatan otot mereka. Dengan ini kaedah pergerakan murid bermasalah penglihatan juga akan bertambah baik disamping boleh membantu keupayaan kefungsian pergerakan murid tersebut. Perkara ini dengan jelas menunjukkan bahawa O & M bukan sahaja membantu murid bermasalah penglihatan dalam bergerak, malah keseluruhan perkembangan murid tersebut.

Penulis artikel ini juga menyatakan bahawa pentingnya O & M ini adalah kerana arahan-arahan O & M juga dapat memberikan peluang kepada murid bermasalah penglihatan untuk membuat pilihan melalui pergerakan. Apabila murid-murid bermasalah penglihatan dibiasakan dengan untuk bergerak berdasarkan arahan yang diberikan, mereka juga dapat meningkatkan kemahiran berkomunikasi dengan baik. Penggunaan kosa kata dan istilah-istilah memainkan peranan penting bagi murid bermasalah penglihatan ini untuk mereka tentukan hala tuju atau destinasi mereka.


Kesimpulannya, Orientasi dan Mobiliti memainkan peranan yang amat besar dalam hidup individu bermasalah penglihatan. Dengan adanya pendedahan tentang kawasan persekitaran, individu bermasalah penglihatan bukan sahaja dapat bergerak dengan rasa selamat, malah dapat berdikari lantas menjalankan kehidupan seharian dengan lebih baik. Dengan itu, Orientasi dan Mobiliti wajar diberi penekanan kepada setiap individu bermasalah penglihatan sejak awal usia lagi.

No comments:

Post a Comment