Thursday, March 30, 2017

Contoh Teks Syarahan Tafsir

TEKS SYARAHAN TAFSIR WANITA IPGKIK
Salam.Bismillah...
Hamdalah...
Selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

Terima kasih saya ucapkan kepada pengerusi majlis. Yang dihormati, barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana. barisan dif-dif kehormat dan seterusnya warga dewan yang dikasihi sekalian. Muslimin dan muslimat, saya ingin menyeru kepada kalian, marilah  sama-sama kita menghayati tajuk syarahan tafsir  saya yang berbunyi: “MENGURUS  HARTA MENURUT ISLAM ”.

Tajuk ini saya pilih berdasarkan Surah at-taubah ayat 34 yang berbunyi:

Maksud : Wahai orang-orang Yang beriman! Sesungguhnya banyak pendita (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai , dengan cara yang salah, dan mereka menghalangi manusia dari jalan Allah. dan (ingatlah) orang-orang Yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka Dengan azab seksa Yang tidak terperi sakitnya.

Sidang dewan yang di Rahmati Allah,
Secara ringkasnya, menurut   Ibnu Katsir dalam tafsirnya, dan Profesor HAMKA dalam kitab tafsirnya, mereka  telah menghuraikan pengertian tajuk ini dengan menyatakan bahawa mencari  dan memiliki harta kekayaan adalah sesuatu yang diizinkan oleh agama. Manusia perlu mengurus dan mentadbir harta kurniaan Allah ini dengan betul dan amanah agar tidak menerima azab yang pedih di akhirat nanti.

Hadirin dan hadirat sekalian:
Pertama, mengurus harta dalam Islam ialah  fitrah manusia. Allah SWT melengkapkan manusia dengan fitrah kejadian yang suka akan mencari harta . Manusia melakukan ikhtiar dan usaha bersungguh-sungguh bagi memperoleh harta kekayaan kurniaan Allah SWT.
Firman Allah di dalam surah al-Jumuah ayat 10:

Maksudnya: Maka apabila setelah selesai sembahyang, bertebaranlah kamu di muka bumi, dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu berjaya di dunia dan di akhirat”.

Ayat ini  jelas memberi galakan kepada kita supaya mencari harta seperti berniaga. Perkara ini sememangnya fitrah kejadian manusia asalkan kita sentiasa mengingati Allah iaitu dengan melaksanakan perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang.

Hadirin dan hadirat warga dewan yang dirahmati Allah,
Isi yang kedua ialah mencari harta yang halal. Islam menggalakkkan kita supaya berusaha mencari harta kekayaan yang halal dan yang dibenarkan oleh syariat. Agama Islam melarang kita mencari harta kekayaan dengan jalan yang salah seperti para pendeta Yahudi dan Nasrani. Mereka terlibat dengan perbuatan menipu, mencuri, merompak, merasuah, salahguna kuasa dan sebagainya seperti dalam ayat yang saya bacakan pada awal syarahan tadi. Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 188:

Maksudnya: Dan janganlah kamu makan harta orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu memberi rasuah kepada hakim-hakim, hanya kerana hendak memakan harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).

Jelaslah bahawa, daripada firman Allah ini, mencari harta yang halal merupakan  perkara  penting dalam mengurus harta menurut Islam


Sidang hadirin sekalian,
Isi saya yang ketiga ialah mengurus harta merupakan satu  ujian dalam kehidupan .Mentadbir harta dengan betul dan menepati kehendak syariat merupakan tangunggawab yang besar. Oleh yang demikian, kita hendaklah sentiasa sedar bahawa walaupun harta kekayaan merupakan suatu anugerah dan nikmat namun harta juga adalah sebahagian daripada ujian Allah SWT. Saya  ingin mengingatkan bahawa dunia ini ialah tempat yang penuh dengan ujian, manakala akhirat ialah tempat pembalasan. Untuk lebih memahami keadaan ini marilah sama-sama kita merenung  firman Allah SWT di dalam surah al Baqarah ayat 155.          
            

Maksud : Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu Dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang Yang sabar.

Berdasarkan keterangan ayat ini, Allah SWT telah menceritakan kepada kita bagaimana ujian boleh berlaku dalam bentuk kesempitan hidup dan kekurangan harta benda. Hanya orang-orang yang sabar sahaja akan memperolehi kejayaan. Justeru, muslimin muslimat, kita hendaklah menyedari bahawa harta yang kita miliki itu merupakan satu ujian dan kita mestilah menguruskannya mengikut kehendak syariah Islamiah.

Hadirin yang dikasihi sekalian,
Isi keempat bagi syarahan saya ialah membersihkan harta yang haram. Harta haram yang saya maksudkan di sini ialah harta yang dimiliki dengan cara yang tidak diiktiraf oleh syariah. Perkara yang melibatkan harta haram termasuk wang yang diperoleh secara riba, hasil curian, judi, pecah amanah, dan banyak lagi. Nabi bersabda , Qola Rasulullahi salallahu alaihi wassalam, “Innallaha yuhibbu jamal”, “Sesungguhnya Allah itu baik dan tidak menerima kecuali sesuatu yang baik” Riwayat Muslim

Dengan ini, perkara terbaik untuk menangani harta haram ialah dengan membersihkan harta tersebut. Syeikh Atiyyah Saqar berkata, : Wajib untuk melupuskan harta haram ketika bertaubat. Membersihkan harta haram boleh dilakukan dengan memulangkan harta itu kepada tuannya. Sebaliknya, jika tidak diketahui, hendaklah diserahkan kepada faqir miskin bagi memisahkan diri daripada harta haram tersebut dan bukannya bagi meraih pahala.

Muslimin muslimat sekalian,
Isi yang kelima ialah perkara yang jarang-jarang kita dengar namun, sebenarnya amat penting dan berkait rapat dengan kehidupan kita. Perkara kelima ialah harta intelek negara perlu diuruskan dengan baik. Hadirin sekalian: Menurut Sheikh Ali Al-Khafif, Harta intelek negara ialah harta yang dihasilkan oleh cetusan kreativiti manusia yang terdiri daripada paten, cap dagangan, reka bentuk perindustrian dan hakcipta.

Ketahuilah  bahawa harta intelek adalah amat penting pada sesebuah negara terutamanya kepada negara kita yang sedang membangun kerana harta intelek boleh dijadikan sebagai sumber ekonomi baharu. Justeru, saya ingin menegaskan bahawa harta intelek perlulah dilindungi. Di samping itu, harta intelek juga perlu diberi hak yang eksklusif kepada pemiliknya untuk mengguna, membuat serta menjual hasil harta inteleknya.Menurut  Kajian Cetak Rompak Perisian Global BSA 2012, 78 peratus pengguna komputer di Malaysia menggunakan perisian cetak rompak. Wajarkah tindakan mereka? Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud: La yahillu limuslim ai ya’quza aso akhohu biqoirin thoiyyibin min nafsih. Maksudnya, tidak halal bagi satu orang muslim utk mengambil tongkat saudaranya tanpa kebenarannya Riwayat Imam Al-Baihaqi.

Hadirin sekalian ,kesimpulannya, marilah sama-sama kita menilai kembali harta yang kita miliki dengan sebaik mungkin. Pastikan sumber harta kita datang daripada punca pendapatan yang halal dan mendatangkan manfaat kepada kehidupan kita .Firman Allah SWT di dalam surah al-Takathur ayat 1-4:

Maksudnya: Kamu telah dilalaikan oleh perbuatan berlumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (hartabenda, anak-pinak, pangkat dan pengaruh.  Sehingga kamu masuk kubur atau Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak  Sekali lagi (diingatkan): jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibat yang buruk pada hari kiamat).

Tuntasnya, saudara saudari saya menyeru marilah kita sama-sama menguruskan segala harta kekayaan yang ada dengan sebaik-baiknya mengikut jalan yang diredhai Allah SWT. Mudah-mudahan dengan harta ini, kita akan beroleh kejayaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat.

Sekian, wabillah hitaufik wal hidayah wasalamualaikum.....



No comments:

Post a Comment